Friday, July 26, 2013

Ayam Kung Pao


Kung pao tu apa? Mcm kung fu pun ada yer...Sebelum ini cik kuali pernah kongsikan resepi Kam Heong....Hari ini cik kuali nak kongsi resepi Kung pao pulak...Kung Pao bermaksud "spicy stir-fry" ataupun tumis pedas yang dibuat daripada kombinasi ayam, kacang, sayur-sayuran dan lada cili. Menu ini juga adalah hidangan klasik dalam masakan Szechuan yang berasal dari Wilayah Sichuan di tengah barat Negara Cina. Sedap ke tidak menu ini, anda sendiri kena cuba buat...Bahagian ayam yang sesuai untuk membuat menu ini ialah bahagian dada atau isi ayam tanpa tulang. Boleh juga menggunakan peha ayam tapi pastikan buangkan tulangnya terlebih dahulu.  

Bahan-Bahannya :-
400grm isi ayam / dada ayam (dipotong kecil)
8 tangkai cili kering (dipotong pendek)
2 ulas bawang putih (ditumbuk halus)
1 inci halia (dihiris halus)
3 sudu besar kacang gajus (yang telah dipanggang)
1/2 biji cili benggala (dipotong kecil)
Beberapa helai daun bawang (dipotong halus)
1 sudu kecil minyak bijan (untuk menumis)
Beberapa helai daun sup (dihiris)

Bahan Perapan
1 sudu besar kicap cair
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar tepung jagung
1/2 sudu kecil minyak bijan

Bahan Sos
1 sudu besar kicap pekat
2 sudu besar kicap cair
2 sudu besar sos cili bawang putih (sos cili thai)
1/4 cawan stok ayam
1/2 sudu kecil tepung jagung (dibancuh dengan sedikit air)
Garam dan gula secukup rasa

Cara Membuatnya:-


  • Ayam dibersihkan dan toskan. Dalam satu mangkuk masukkan bahan perapan dan ayam. Perapkan selama 30 minit. 
  • Dalam mangkuk lain, bancuhkan bahan sos.
  • Panaskan minyak untuk menggoreng ayam. Goreng ayam yang telah diperap hingga masak 70%. Angkat ayam dan ketepikan.
  • Gunakan kuali yang sama. Minyak menggoreng dikurangkan hingga tinggal sedikit minyak dan tambahkan minyak bijan.
  • Tumiskan bawang putih dan halia hingga naik bau. Kemudian masukkan cili kering. 
  • Tambahkan ayam yg telah digoreng awal tadi, lada benggala dan kacang gajus. 
  • Kemudian masukkan bahan sos. Kacau hingga semua sebati selama 5 minit. 
  • Rasa dan jika ok padamkan api. Hidangkan dan taburkan daun bawang.

Tuesday, July 23, 2013

Daging Masak Merah




Macam dah lama pulak cik kuali tak update resepi kan? Yela dapur tak berasap la katakan...Dua tiga hari ini berbuka diluar sajer.....Hari ini cik kuali nak kongsikan menu yang biasa kita pesan atau makan di Restoran Masakan Thai iaitu Daging Masak Merah....Tapi resepi ini dah kira ikut versi cik kuali...Jika kita biasa dengan resepi masakan thai, mereka gemar mengunakan sos ikan...Cik kuali mengantikan sos ikan kepada pati ikan bilis...Sesekali tukar selera kepada daging di bulan Ramadhan ini apa salahnya kan...

Bahan-Bahannya :-

300grm daging (dicuci bersih)

1 biji bawang besar (dipotong bulat)
2 ulas bawang putih (dihiris halus)
1/2 inci halia (dihiris halus)
6 biji cili padai (diketuk)(boleh tambah lagi jika ingin pedas)
3 helai daun limau kasturi
1 sudu besar cili kisar
3 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tomato
1 sudu besar sos tiram
1/2 sudu kecil serbuk pati ikan bilis
Sedikit air rebusan daging
Garam dan gula secukup rasa

Cara Membuatnya :-

  • Masukkan daging yang telah dicuci bersih ke dalam periuk.(jika ingin daging warna merah seperti di kedai, masukkan pewarna merah) Rebus daging hingga empuk. Asingkan air dan daging. Ketepikan air daging.
  • Setalah daging sedikit sejuk, potong daging nipis-nipis.
  • Panaskan sedikit minyak, tumiskan bawang putih dan halia hingga naik bau.Tambahkan cili kisar, sedikit gula dan garam. Tumis cili hingga garing. 
  • Masukkan sedikit air daging, serbuk pati ikan bilis, cili padi, daun limau kasturi, sos cili, sos tomato dan sos tiram
  • Kacau rata dengan api sederhana. Tambahkan daging dan bawang besar. Biarkan sebentar biarkan semua bahan sebati.
  • Rasa dan jika ok padamkan api. Hidangkan bersama nasi panas.

Saturday, July 20, 2013

Nasi Minyak


Sebelum ini cik kuali ada kongsikan resepi Ayam Panggang Percik...Hari ini cik kuali nak kongsi pulak resepi nasi minyak...Bulan-bulan puasa ini cik kuali teringin pulak nak makan nasi minyak...Dalam bulan puasa ini mana ada kenduri kahwin kan....Jadinya cik kuali pun cari la dalam buku-buku resepi yang ada...Resepi dah dapat, pastu tgk bahan-bahan pun ada kat rumah apa lagi kita buat projek nasi minyak la....Tambahan pula ada lauk Ayam Panggang Percik...Sesuai sangat la kan...

Bahan-Bahannya :- (2-3org makan)

3 pot beras Basmathi (dicuci dan rendamkan selama 30minit)
1 pot susu cair
2 pot air
1 sudu besar minyak sapi
1 sudu besar minyak masak
3 ulas bawang merah (dihiris halus)
2 ulas bawang putih (dihiris halus)
2 helai daun pandan (diikat simpul)
1 batang serai (dititik)
1 inci halia (ditumbuk)
1 batang kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
5-6 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
Beberapa helai daun ketumbar
Sedikit pewarna oren
Garam secukup rasa

Cara Membuatnya :- 

  • Beras basmathi yang telah telah direndam, ditoskan airnya. Kemudian masukkan beras ke dalam periuk nasi. Tambahkan 2 pot air dan 1 pot susu cair. 
  • Panaskan kuali, masukkan minyak dan minyak sapi. Tumiskan bawang merah, bawang putih, halia, serai, kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga hingga naik bau
  • Padamkan api. Tuangkan minyak bersama bahan tumis ke dalam periuk nasi. Kacau rata dan tambahkan daun pandan dan garam secukup rasa. Masak nasi seperti biasa.
  • Bila nasi telah masak. titikan 2-3 titik pewarna oren serta taburkan daun ketumbar dan bawang goreng.
  • Setelah siap boleh dihidangkan bersama lauk kegemaran anda.





Thursday, July 18, 2013

Pengat Pisang Bersagu


Pisang adalah buah yang sedap dimakan begitu sahaja dan membekalkan tenaga pada tubuh badan kita. Menurut kajian dengan dua biji pisang boleh membekalkan tenaga untuk kita melakukan kerja atau senaman berat selama 90 minit. Kajian tempatan yang dilakukan 100gram pisang mengandungi 1.2 gm protein, 0.3gm lemak, 17mg kalsium, 78mg karotena, 88mg kalium, 27.2gm karbohidrat, 0.4gm serabut dan 116kcal tenaga....Cukup fakta tentang pisang yer uolls...Hari ini cik kuali nak kongsikan resepi pengat pisang bersagu...Jika kita ada pisang berlebihan jangan dibiarkan begitu sahaja...Apa kata kita buatkan kuih-muih dan pencuci mulut...Terdapat pelbagai jenis pencuci mulut berasaskan pisang....

Bahan-Bahannya :- (untuk 2 atau 3org makan)

3-4 biji pisang (dipotong-potong)
(cik kuali guna pisang montel)
4 sudu besar sagu biji (direndam sekejap dengan air)
500ml santan
1/2 ketul gula melaka (dipotong kecil supaya senang larut)
2 sudu besar gula
2 helai daun pandan (diikat simpul)

Cara Membuatnya :-
  • Dalam satu periuk, masukkan santan, gula, gula melaka dan daun pandan. Masakkan dengan api sederhana. Kacau selalu hingga mendidih.
  • Biji sagu yang direndam, dicuci dan toskan. Kemudian dimasukkan ke dalam periuk. Kacau selalu hingga sagu masak (sagu menjadi biji jernih).
  • Akhir sekali masukkan pisang. Kacau seketika hingga pisang masak. Padamkan api dan hidangkan.

Ikan Siakap Kukus Halia


Salam Ramadhan.....Dah puasa ke berapa dah kita hari ini? Sekejap je dah 10 hari...Pantas sungguh masa berlalu...Apa menu berbuka uolls semalam? Cik kuali masak yang mudah dan ringkas saja semalam kerana agak kepenatan bekerja...Hari ini cik kuali nak kongsikan menu sihat, ringkas dan cepat disediakan....yang penting sedap...Adakalanya kita bosan makan ikan yang digoreng dan dibuat gulai. Apa salahnya sesekali kita ubah cara masakkan pula...Kita kukus, panggang dan grill (dah mcm iklan Panasonic plak)...hehehe...Bahan-bahan untuk kukus ikan ini pun mudah dan senang didapati...Selain siakap boleh juga guna kan ikan bawal, ikan merah dan ikan kerapu....Cara kukus pula tidak semestinya mengunakan periuk kukus...Dengan kuali pun kita boleh kukus ikan cuma yang perlu ada penutup kuali dan besi pengalas periuk...

Bahan-Bahannya:-

1 ekor ikan siakap (dicuci bersih)
2 inci halia (dihiris halus)
5 sudu besar kicap cair
3 sudu besar air
3 percikan lada putih / lada sulah
1 sudu kecil gula
1/2 sudu kecil minyak bijan
2 sudu besar minyak
Beberapa helai daun sup & daun bawang (dipotong panjang 2 inci)
Sedikit garam

Cara Membuatnya :-
  • Dalam 1 mangkuk, campurkan minyak bijan, kicap cair, lada putih dan gula. Ketepikan 
  • Ikan dicuci bersih dan diletakkan didalam pinggan yang boleh dikukus. Taburkan sedikit garam dan 1/2 bahagian halia yg telah dihiris tadi.
  • Didihkan air didalam kuali. Letakkan besi pengalas periuk dan masukkan pinggan ikan. Kemudian tutup rapat dengan penutup kuali. Kukus ikan selama 8 minit.
  • Setalah 8 minit, tutupkan api. Keluarkan ikan dan buangkan air lebihan ikan di dalam pinggan serta halia. 
  • Kemudian ambil 1/2 bahagian halia yang telah dihiris tadi, ditaburkan diatas ikan yg telah dikukus. Panaskan 2 sudu minyak. Setelah panas, dicurahkan ke atas halia dan ikan. 
  • Kemudian guna kuali yang sama, panaskan bahan-bahan kicap yang kita telah campurkan tadi. Biarkan mendidih. Setelah mendidih, padamkan api dan dituangkan rata keatas ikan. 
  • Akhir sekali taburkan daun bawang dan daun sup. Ikan siap untuk dihidangkan.   


Tuesday, July 16, 2013

Nasi Ayam Ku Din


Semua orang gemar makan nasi ayam.....Pada cik kuali nasi ayam ini satu menu yang lengkap kerana ada nasi, ayam, sup, sos dan sayuran....Jika kita ke restoran atau food court menu paling mudah dipesan dan cepat dihidangkan ialah Nasi Ayam...Keluarga Cik kuali pernah jadikan nasi ayam sebagai sumber pendapatan satu ketika dulu...Arwah Papa cik kuali adalah penjual nasi ayam di Klang pada zaman mudanya...Agak terkenal juga nasi ayam keluarga dia ketika itu...Disebabkan itu juga la resepi kali ini cik kuali letak nama sempena nama arwah papa cik kuali - Allahyarham Raja Kamarudin (Ku Din)...Resepi kali ini kira macam "special edition" ...Resepi turun temurun uolls....Dari arwah atah @ nenek (ibu sebelah papa), diturunkan kepada menantunya (mama cik kuali) dan turunkan ke cik kuali...No SECRET ingredient untuk buat nasi ayam ini pun...Yang penting masak dengan ikhlas dan kasih sayang...Gittuuu katanya....Ssssshhh jgn bagitu mama cik kuali (pada yg mengenalinya), cik kuali dah share resepi kat sini....hehehehe...resepi cik kuali ini sesuai untuk 2-3 org makan...Jika anda ingin menjamu ramai org, gandakan sahaja resepinya yer... 

Bahan-Bahannya:
Nasi
3 pot beras
4 pot air rebusan ayam
1 sudu kecil minyak bijan
2 sudu besar minyak
3 ulas bawang putih (ditumbuk halus)
2 inci halia (dititik)
1 batang serai (dititik)
2 helai daun pandan (diikat simpul)

Ayam
1/2 ekor ayam
5 ulas bawang putih (ditumbuk halus)
2 inci halia (dititik)
Garam secukupnya
Air Secukupnya untuk merebus
2 sudu makan kicap (untuk mengoreng)

Kuah Cili
3 biji cili merah
2 ulas bawang putih
1 sudu kecil cuka 
2 sudu besar gula
Garam secukupnya
Sedikit air
1 senduk kecil air rebusan ayam

Kuah Kicap
2 ulas bawang putih (ditumbuk halus)
4 sudu besar kicap cair
1 sudu besar kicap manis
1 senduk kecil air rebusan ayam 

Sup
5 senduk besar air rebusan ayam
Beberapa helai daun sup & daun bawang (dipotong halus)
Sedikit bawang goreng

Bahan-Bahan lain
1 biji timun
1 biji tomato
Daun Salad

Cara Membuatnya:-

  • Ayam yang telah dicuci bersih & ditoskan. Masukkan ke dalam periuk untuk direbus. Tambahkan bawang putih, halia dan garam. Pastikan air untuk merebus ayam cukup untuk dijadikan masak nasi, sup dan kuah. Rebus ayam selama 15 minit (bergantung kepada size ayam).
  • Setelah air rebusan mendidih, rasa sedikit untuk pastikan garam secukupnya. Jika ok, padamkan api. Asingkan ayam dan air rebusan. Ayam yang telah direbus diketepikan. 
  • Untuk Nasi :- Sukat air rebusan ayam dan masukkan ke dalam periuk nasi. Basuh beras dan toskan. Panaskan minyak bijan dan minyak, tumiskan bawang putih, halia dan serai hingga naik bau. Kemudian tuangkan ke semuanya ke dalam periuk nasi dan masukkan beras serta daun pandan. Masakkan nasi seperti biasa. 
  • Untuk Sup :- Sendukkan air rebusan ayam ke dalam mangkuk / periuk kecil (untuk senang dipanaskan nanti). Tambahkan daun sup, daun bawang dan bawang goreng. Siap dihidangkan
  • Untuk Kuah Cili :- Kisarkan cili merah bersama bawang putih, garam, gula, cuka dengan sedikit air hingga halus. Kemudian masukkan kedalam periuk untuk dimasak. Tambahkan air rebusan ayam dan masakkan kuah cili hingga mendidih. Rasa dan jika ok padamkan api. Siap dihidangkan
  • Untuk Kuah Kicap :- Panaskan sedikit minyak. Tumiskan bawang putih hingga naik bau. Masukkan kicap cair, kicap manis dah air rebusan ayam. Biarkan hingga mendidih. Siap dihidangkan.
  • Untuk Ayam :- Ayam yang telah direbus digaulkan dengan kicap manis. Panaskan minyak untuk mengoreng. Gorengkan ayam hingga sedikit garing (tidak perlu lama mengoreng kerana ayam telah direbus dan isinya telah masak sempurna. Jika terlalu lama mengoreng isi akan menjadi keras dan liat)
  • Untuk Sayur :- Cuci bersih timun, tomato dan daun salad. Potong ikut cara anda dan hidangkan bersama.   

Sunday, July 14, 2013

Gulai Tempoyak Ikan Senangin


Pada bulan Ramadhan ini banyak pula tempat orang menjual durian....Cik Kuali salah seorang pengemar raja buah ini....Kalau dulu zaman muda remaja boleh makan berulas-ulas & berbiji-biji...Sekarang ini faktor usia dah semkain menigkat kena kurangkan sedikit...Untuk rasa seulas dua sudah memadai...Jadi ada baki itu pelbagai kita boleh masakkan...Sebagai contoh bubur kacang durian, pengat durian, tempoyak dan kuah serawa durian untuk makan dengan roti jala / roti..Selain itu boleh juga dibuat durian creepe, kek durian dan muffin durian....Cik kuali bahagikan durian kepada 2 bahagian...Sebahagian untuk buat tempoyak dan satu bahagian lagi cik kuali simpan dalam bekas dan masukkan dalam peti sejuk beku (bahagian freezer)...Jika kita hendak durian kita tahan lama dari segi rasa dan teksturnya kita kena simpan dibahagian sejuk beku....Buat tempoyak sendiri memang sedap la kan....Kebersihannya pun dijamin sebab kita sendiri yang kupas isinya...Bila tempoyak dan menjadi apa lagi, mari kita buat gulai...Pemilihan ikan terpulang kepada anda, ikan pari, ikan parang, ikan kembung, ikan sungai dan lain-lain juga sedap untuk dimasak gulai tempoyak....

Tempoyak buat sendiri katamya



Bahan-Bahannya :-

1 ekor ikan senangin (size sederhana)(disiang & dicuci bersih)
3 biji cili merah
8 biji cili padi (boleh tambah jika ingin pedas)
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
2 inci belacan
3 keping asam gelugur / asam keping
4 sudu besar tempoyak
Garam dan serbuk kunyit secukupnya
Air secukupnya untuk kuah
Beberapa helai daun kesom

Cara Membuatnya :-
  • Ikan yang telah dibersihkan, dilumurkan dengan sedikit garam dan kunyit. Masukkan ke dalam periuk
  • Kisarkan cili merah, cili padi, bawang merah, bawang putih dan belacan dengan air secukupnya. Kisar hingga semua bahan menjadi halus 
  • Kemudian tuangkan bahan kisar didalam periuk bersama ikan tadi. Tambahkan asam gelugur, tempoyak, daun kesom, sedikit serbuk kunyit, garam secukup rasa dan air secukupnya jika ingin lebih kuah.
  • Masakkan semua bahan dengan api sederhana. Kacau sekali sekala. (jangan dikacau selalu takut ikan hancur)
  • Biarkan kuah mendidih dan ikan masak. Rasa dan jika ok boleh dipadamkan api.
  • Hidangkan bersama nasi panas.  


Ayam Panggang Percik


Salam Ramadhan...Hari ini sudah masuk hari ke-5 kita berpuasa....Alhamdulillah....Bulan puasa ini ramai yang mencuba untuk memasak sendiri dari membeli dari bazaar Ramadhan....Kita akan rasa gembira bila keluarga merasa hasil masakan kita...Tambahan pula, dijamin bersih, halal, dan ikhlas...Cabaran untuk memasak pada bulan puasa ini ialah kita tidak boleh merasa masakan kita sebelum waktu berbuka....Pada cik kuali, jika kita  memasak dengan ikhlas dan tawakal pada Allah tentang rasa masakan kita, In Shaa Allah masakan kita menjadi....Hari ini cik kuali nak share kan resepi Ayam Panggang Percik....Sejak encik D belikan oven baru belum cuba buat resepi apa-apa lagi...So untuk menu berbuka pada hari Jumaat lepas cik kuali buatkan Ayam Panggang Percik untuk makan bersama Nasi Minyak...

Bahan-Bahannya:-

1/2 ekor ayam (dibersihkan)
(cik kuali guna 3 ketul ayam "thighs legs")
500 ml santan
1 keping asam gelugur / asam keping
2 sudu besar cili kisar / cili boh
2 batang serai 
4 biji buah keras
3 ulas bawang putih
2 biji bawang besar
2 inci halia
1 inci kunyit hidup
1 sudu kecil ketumbar
1 sudu kecil jintan manis
1 sudu kecil jntan putih
Garam dan gula secukupnya
Cara Membuatnya :-

  • Kisarkan bawang besar, bawang putih, jintan manis, jintan putih, ketumbar, halia, kunyit hidup, serai dan buah keras dengan air secukupnya. Kisar hingga halus semua bahan.
  • Kemudian tumiskan bahan kisar. Tambahkan cili kisar. Tumiskan hingga pecah minyak atau garing
  • Masukkan santan, sam gelugur, sedikit garam dan gula. Kacau rata hingga kuah mendidih.
  • Tambahkan ayam yang telah dibersihkan kedalam kuah dan biarkan ayam 3/4 masak.
  • Keluarkan ayam tadi dan susun diatas dulang pembakar. Kuah didalam kuali dimasakkan hingga sedikit pekat.
  • Kemudian kuah dilumurkan pada ayam diatas dulang pembakar. Oven dipanaskan dalam masa 10 minit dengan suhu 200 darjah Celsius. Setelah oven panas, masukkan dulang pembakar dengan berhati-hati.
  • Bakar selama 20 minit, kemudian dibalik-balikkan ayam dan tuangkan sedikit kuah lagi dan bakar selama 20 minit lagi.
  • Setelah siap boleh dihidangkan...




Thursday, July 11, 2013

Lala Kam Heong


Sebelum ini cik kuali pernah kongsikan resepi Ayam Kam Heong... Semalam untuk menu iftar cik kuali masak Lala Kam Heong...Disebabkan cik kuali sampai ke rumah agak lewat jadinya masak yang simple saja....Kita boleh masak pelbagai jenis masakan dengan lala seperti gulai lemak, masak bersama pasta, goreng bercili dan sebagainya....


Bahan-Bahannya

300 grm lala (dicuci & ditoskan)
2 tangkai daun kari
2 sudu besar serbuk kari
8 biji cili padi (ditumbuk sedikit)
3 ulas bawang putih(ditumbuk)
8 ulas bawang merah (ditumbuk)
2 sudu besar udang kering (direndam & ditumbuk)
2 sudu besar sos tiram
1 sudu besar kicap cair
1 sudu besar kicap pekat
1 biji bawang besar (dipotong 6)
Garam dan Gula secukup rasa

Cara Membuatnya:-
  • Dalam satu mangkuk, campurkan serbuk kari, sos tiram, kicap cair & kicap pekat sebagai bahan perencah.
  • Panaskan sedikit minyak, tumiskan bawang merah & bawang putih. Dimasukkan pula udang kering hingga naik bau. 
  • Kemudian masukkan cili padi, daun kari, dan bahan perencah. Kacau hingga sebati. 
  • Tambahkan garam serta gula secukup rasa.
  • Masukkan lala bersama bawang besar. Kacau rata.Rasa dan jika ok, boleh dihidangkan bersama nasi panas..

Asam Pedas Ikan Tenggiri


Salam Ramadhan....Alhamdulillah syukur kerana kita masih lagi diberi kesempatan untuk melakukan amal ibadah di bulan yang mulia...Apa menu berbuka semalam? Cik kuali masak asam pedas ikan tenggiri....Asam pedas sinonim dengan negeri Melaka...Jika kita ke Melaka mesti mencari kedai asam pedas....Pelbagai jenis ikan boleh digunakan untuk masak asam pedas contohnya ikan pari, ikan kembung, ikan semilang, ikan parang dan sebagainya....Selain ikan, daging tetel dan ayam juga boleh digunakan...Macam mana nak masak asam pedas? Meh cik kuali nak share resepinya...Resepi asalasam pedas Melaka mengunakan lada hitam dan halba...Untuk resepi cik kuali lebih ke arah asam pedas Muar gitu...

Bahan-Bahannya

4 keping potongan ikan tenggiri (dicuci)
8 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci belacan
2 biji buah keras (dihiris)
2 senduk nasi cili kisar
250 ml air asam jawa
1 kuntum bungan kantan (dibelah 4)
Beberapa helai daun kesom (dibersihkan)
6-8 biji bendi
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit serbuk kunyit


Cara Membuatnya:-

  • Ikan yang telah dicuci bersih, digaul dengan sedikit garam dan kunyit.
  • Kisar cili kisar bersama dengan bawang merah, bawang putih, belacan dan buah keras.
  • Panaskan minyak, tumiskan bahan kisar hingga garing. Tambahkan sedikit garam dan gula.
  • Kemudian masukkan air asam jawa. Kacau rata. Tambahkan ikan, daun kesom dan bunga kantan.
  • Kacau sekali sekala. Kemudian boleh dimasukkan bendi. Biarkan hingga ikan masak.
  • Rasa dan jika cukup semuanya boleh dipadamkan api. Hidangkan bersama nasi panas dan telur masin. Enak!

Wednesday, July 10, 2013

Trifle Fruit Cocktail


Pencuci mulut atau dessert ini boleh dikatakan senang dibuat sebab main susun-susun dan lapis-lapiskan je....Bahan-bahan penting yang perlu ada dalam dessert ini ialah kek gulung / swiss roll cake, kastad, buah-buahan campuran, jelly dan krim putar (tapi cik kuali tak suka letak ni). Kita bole susun seberapa banyak lapisan yang kita hendak dalam satu bekas..Kalau boleh bekas yang kita nak susun tu biarlah bekas kaca atau yang boleh nampak keindahan lapisan trifle itu nanti... 


Bahan-Bahannya

1 gulung kek gulung / swiss roll cake (perisa ikut kegemaran anda)(cik kuali guna perisa vanilla/butter)
1 tin buah-buahan campuran / Fruit cocktail
90 gram serbuk jeli kristal (perisa stawberi)
1 tin susu cair
30 gram gula kastor
40 gram tepung kastad
1 sudu teh esen vanila
350ml air panas
5 sudu besar air

Cara Membuatnya:-

  • Potong kek gulung dengan ketebalan 0.5 - 1 inci. Susunkan didalam bekas yang anda gunakan.

  • Asingkan air buah campuran dengan buah-buahannya. Sapukan sedikit air buah campuran diatas kek gulung yang telah disusun. Untuk beri sedikit kelembapan pada kek.
  • Bancuhkan tepung kastad dengan 5 sudu air kemudian tuangkan dalam periuk. Dalam periuk yang sama masukkan susu cair, gula kastor, esen vanila. Masakkan kesemua bahan dengan api sederhana 6-8 minit. 
  • Kacau selalu hingga adunan menjadi pekat. Segera padamkan api setelah pekat dan tuangkan diatas kek tadi hingga menutupi semua bahagian kek. Biarkan bancuhan sejuk. 

  • Setelah sejuk, taburkan buah-buahan campuran diataslapisan kastad itu.

  • Bancuhkan serbuk jeli kristal dengan air panas. Kacaukan hingga serbuk jeli kristal larut. Kemudian tuangkan  dalam bekas hingga menutupi lapisan buah campuran. Biarkan jeli sejuk.
  • Setelah sejuk masukkan ke dalam peti sejuk selama 1 jam. Kemudian boleh dihidangkan sejuk. 
  • Pada yang gemar krim putar or whipping cream boleh diletakkan diatas lapisan jeli dan dihiaskan dengan buah strawberi. 

Sunday, July 7, 2013

Delicious Cafe



    2 minggu lepas cik kuali bawa mama cik kuali jalan-jalan ke Setia City Mall. Memandangkan tersangat la dekat dengan rumah kami kan...So bila dah pusing dari satu level ke satu level, harus la perut jadi lapar....Cik kuali saja cadangkan ke Delicious sebab mama cik kuali belum pernah ke situ lagi rasa nya...Mcm cik kuali dgn encik D tak yah tanya la kan...selalu dah ke Delicious tu...

    Konsep Kafe Delicious ini lebih kepada santai dan kite pun selesa untuk makan, borak-borak & lepak-lepak.... Delicious ada beberapa cawangan di sekitar Lembah Klang dan boleh dikatakan semua cawangan terletak didalam pusat membeli belah...Menu yang terdapat di Delicious terdiri dari pelbagai jenis..Dari pembuka selera (starter /appertizer) hingga ke pencuci mulut (dessert) semua ada...Pada yang gemar makanan barat serta makanan tempatan juga ada di Delicious...Untuk keterangan lanjut tentang kafe ini uolls bole tgk di website http://www.thedeliciousgroup.com/

   Sebagai starter kami order Quiche Lorraine yang dihidangkan bersama daun salad segar. Quiche Lorraine mengandungi isi daging, buah tomato dan keju. Pada cik kuali rasanya sedap dan tidak muak. Quiche ini sebenarnya sebagai menu utama tetapi kami jadikan sebagai pembuka selera appertizer. Harga sepotong Quiche bersama salad berharga RM 18.90...



Quiche Lorraine


   Untuk menu utama, Encik d dan Mama memilih Nasi Kerabu Ayam Percik. Cik kuali pula memilih pasta iaitu Mama's Beef Bolognese Spaghettini.



Nasi Kerabu Ayam Percik


Mama's Beef Bolognese Spaghettini
   Nasi Kerabu dihidangkan bersama ayam percik, keropok, telur masin dan ulam-ulaman...Sedap juga rasa nasi kerabu ini...Ayam percik nya secukup rasa dan kuah percik memang sedap....Untuk Spagheti Bolognese juga menarik....Rasa bebola dagingnya yang cukup rasanya dan dihidangkan bersama sos tomato serta hirisan keju parmesan....Harga untuk hidangan Nasi Kerabu Ayam Percik ialah RM 24.90 dan Mama's Beef Bolognese Spaghettini ialah RM 22.90...

   Minumannya pula, cik kuali cuba Iced Longan Lemongrass Tea. Encik D dan Mama pula minum Iced Longan Tea. Harga kedua-dua air ini ialah RM 9.90 setiap gelas.

  Kami tidak mencuba sebarang pencuci mulut / dessert kerana kekenyangan dengan menu utama. Mungkin lain kali cik kuali boleh bagi komen berkenaan pencuci mulut di Delicious Cafe. Disini memang terdapat pelbagai jenis pencuci mulut yang nampak sedap dan menarik. Delicious cafe juga boleh dijadikan sebagai tempat untuk majlis kecil-kecilan seperti Reunion, Birthday Party dan juga sebagainya.

Nasi Lemak


Nasi Lemak yang biasa kita beli digerai-gerai adakala nya kurang menepati citarasa kita....Betul tak? Pasti ada yang nak lebih sambal, nak lebih telur, nak  lebih ikan bilis...So, kalau nak semuanya lebih apa kata kita buat sendiri...Kalau masak sendiri nasi lemak bukan takat semua boleh lebih, silap haribulan boleh makan dari pagi hingga ke malam...hehehe :)
Cik Kuali pula suka nasi lemak yang ade sayur kangkung dicelur dan ayam goreng....Tambah sedap lagi jika ayam goreng berempah....emmmm enak sekali!!! 


Bahan-Bahannya

4 pot beras (dicuci dan ditoskan)
3 pot pati santan
2 pot air
2 helai daun pandan (dicuci dan dikat simpul)
3 ulas bawang kecil (dihiris halus)
2 inci halia (ditumbuk)
Sambal Tumis (Resepi Sambal Sotong)
3 biji telur rebus
1 biji timun (dibuang kulit & dihiris)
Kacang tanah (digoreng)
Ikan bilis (digoreng garing)
Seikat kangkung (dicelur) - optional

Cara Membuatnya :
  • Masukkan santan dan air ke dalam periuk nasi. Tambahkan bawang, halia, garam dan daun pandan. Kacau semua nya hingga sebati. Akhir sekali masukkan beras yang telah dicuci bersih.
  • Kemudian dipasangkan suis periuk nasi dan biarkan hingga nasi masak / kering.
  • Bila nasi dah masak, gemburkan nasi perlahan-lahan biar nasi terlerai.
  • Dan hidangkan bersama bahan sampingan yang lain. Sedap dimakan ketika nasi masih panas.

Wednesday, July 3, 2013

Sambal Tumis Sotong



Hari Sabtu lepas cik kuali macam terlebih rajin...Plan nak buat sambal sotong saja...tapi pikir-pikir balik apa kata cik kuali cuba buat nasi lemak....Dulu masa tinggal dengan mama selalu tengok mama buat nasi lemak...Sekarang ni kena buat sendiri...harus la nervous kan....Kesedapan nasi lemak mesti pada sambal nya kan...Biasanya kita tengok org menjual nasi lemak ni ada pelbagai jenis sambal....Cik Kuali cuma buat sambal sotong je....

Bahan-Bahannya :-

3 ekor sotong kembang
5 senduk nasi cili kisar
2 biji bawang besar (1 dipotong kasar, 1 untuk dikisar)
1/2 inci belacan
1/2 cawan air asam jawa
Garam dan gula secukup rasa
Kacang tanah (ditumbuk kasar)


Cara Membuatnya :-

  • Sotong dipotong kecil, dicuci dan toskan.
  • Kisarkan cili kisar bersama bawang besar dan belacan.
  • Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan kisar hingga garing. Tambahkan garam & gula.
  • Kemudian masukkan sotong. Kacau rata.
  • Biarkan hingga sotong sedikit masak. Masukkan bawang besar yang dipotong kasar. Tambahkan air asam jawa. 
  • Kacau rata dengan api sederhana hingga sambal sedikit pekat. Akhir sekali masukkan kacang yang telah ditumbuk kasar.
  • Rasa dan jika ok boleh dihidangkan.