Tuesday, November 18, 2014

Butter Rice with Chicken Kebab & Tzatziki



Tajuk resepi nampak macam lazatkan...hihi...Cik kuali barhajat lama nak buat kebab nih...pastu sekali tu dah beli dada ayam mcam tak ade idea plak nak masak apa...Emm...terus cik kuali cari resepi yang sesuai...terjumpa plak Chicken Kebab Mediterranean katanya....Dah ada Chicken kebab, pastu pikir pulak tak kan nak makan kebab gitu je...then terus datang idea nak buat Butter Rice....Tzatziki tu apa ke benda plak? Konsepnya macam "dipping sauce" daripada Greek yg sedap dimakan bersama kebab....Meh sini cik kuali nak cerita resepi ni...



Bahan-bahannya:-

Nasi
2 pot beras
Air Secukupnya
50grm mentega
Secubit garam

Kebab Ayam (8 cucuk kebab)
3 keping dada ayam (dipotong ketul besar)
135gm Greek yogurt
2 sudu besar minyak zaiton
2 sudu kecil serbuk paprika
1/2 sudu kecil serbuk jintan manis
1/4 sudu kecil serbuk kayu manis
1 sudu kecil cili serpih / chili flakes 
1 sudu kecil parutan kulit lemon
2 sudu besar perahan jus lemon
3 ulas bawang putih (ditumbuk halus)
Garam & Serbuk lada hitam kasar secukupnya
1 biji lada benggala
1 biji bawang besar
8 batang lidi sate

Tzatziki
135gm Greek yogurt
1 batang timun (saiz sederhana) (jgn dibuang kulitnya & diparut halus) - cik kuali guna timun jepun
(timun boleh juga dipotong dadu kecil)
1 sudu besar minyak zaiton
2 ulas bawang putih (ditumbuk balus)
1/2 sudu besar perahan jus lemon
Garam & Serbuk lada hitam kasar secukup rasa
Beberapa helai daun dill (dipotong halus)


Cara Membuatnya:-

Nasi
  • Masak nasi seperti biasa. Setelah nasi masak, cairkan mentega.
  • Kemudian masukkan mentega cair ke dalam periuk nasi & taburkan sedikit garam. 
  • Gaulkan nasi hingga rata sebati dengan mentega. Hidangkan bersama kebab ayam.
Kebab Ayam (8 cucuk kebab)
  • Dalam satu mangkuk, masukkkan semua bahan kecuali ayam, lada benggala & bawang besar
  • Kacau rata semua bahan & rasa. Setelah cukup rasa tambahkan ayam kemudian gaul hingga sebati & tutup mangkuk dengan plastik makanan (cling wrap)
  • Perap ayam lebih kurang 8 jam atau semalaman & simpan di dalam peti sejuk (jangan simpan dibahagian sejuk beku) 
  • Setelah perap secukupnya, Potong bawang besar & lada benggala untuk hiasan kebab
  • Cucukkan isi ayam diselang seli dengan lada benggala & bawang
  • Setelah siap semuanya, masa untuk memanggang. Boleh dibakar didalam ketuhar pembakar (oven) dan boleh juga dibakar diatas kuali pemanggang (cik kuali panggang diatas dapur sahaja)
  • Pastikan ayam masak sempurna disemua bahagian. Jangan terlalu lama, nanti isi ayam menjadi kering.
  • Setelah masak hidangkan bersama nasi mentega.

Tzatziki
  • Timun yang telah dipotong dadu / diparut, ditaburkan secubit garam & gauk rata. Biarkan timun seketika. Kemudian toskan air timun yg keluar.
  • Dalam satu mangkuk masukkan yogurt, minyak zaitun, bawang putih, jus lemon, garam, serbuk lada hitam & dill
  • Kacau hingga sebati semuanya. Tambahkan timun & kacau rata. Simpan didalam peti sejuk sebelum makan. Sedap dimakan sejuk.
  • Hidangkan bersama Kebab Ayam.




Monday, November 17, 2014

Telur Dadar Udang



Selalu sangat dah kita makan telur dadar & bawang...Sesekali kita tukar selera pulak kan...letak udang....Wahhh macam mewah pulak kan letaknudang gitu....Senang...Mudah & cepat dimasak...ressepi ni utk 2 org makan.


Bahan-bahannya:-
2 biji telur
1 sudu besar mayonis
5 ekor udang (dibersihkan & dipotong kecil)
Beberapa helai daun bawang (diporong halus)
Secubit garam

Cara Membuatnya:- 

  • Dalam mangkuk, pecahkan telur. 
  • Kemudian tambahkan mayonis, udang, daun bawang & garam. 
  • Pukul semua bahan hingga telur kembang
  • Panaskan kuali dengan sedikit minyak. Masukkan bancuhan telur & masak hingga garing. 
  • Setelah garing, terbalikkan & biarkan ianya masak & garing sempurna
  • Angkat & hidangkan dengan menu kegemaran anda yang lain.



Nasi Goreng Kampung



Salam semua.....Lama sungguh cik kuali menyepikan....Ampun & maaf dipinta...Cik Kuali tersangat sangat busy...Bila dah busy harus la jarang masak kan....Makan kat luar tak pun makan lauk bungkus...Tak kan Cik kuali nak update lauk bungkus kan....hihihi... Ini cik kuali nak share resepi yg senang & sesuai utk org bujang...Kalau ade nasi lebih2 malam tadi jangan dibuang uolls...Simpan boleh digoreng esok pagi nya...InsyaAllah kalau kena dgn gaya masakkan mesti sedap....


Bahan-Bahannya:-
2 pot nasi (nasi panas harus disejukkan dahulu)
5 ulas bawang merah 
2 ulas bawang putih 
1 keping dada ayam (dipotong kecil & dicuci bersih)
7-8 biji cili padi (jika suka pedas boleh letak lebih)
Segenggam ikan bilis (direndam seketika)
1/4 ikat kangkung (dibeesihkan)
1 biji telur
Garam secukup rasa

Cara Membuatnya:-


  • Kisarkan tanpa air (guna pengisar yg kecil) bawang merah, bawang putih & cili padi. Kalau tak ade pengisar / blander boleh ditumbuk saja dengan lesung batu.
  • Keluarkan bawang & cili yg telah halus. Kemudian dikisar pula ikan bilis. Juga guna pengisar tanpa air. 
  • Panaskan sedikit minyak (lebih kurang 4 sudu besar). Tumiskan bahan-bahan yang telah dikisar hingga naik bau / garing.
  • Kemudian masukkan sedikit garam & isi ayam. Kacau rata & biarkan seketika hingga isi ayam empuk. 
  • Pecahkan telur didalam mangkuk & masukkan kedalam kuali. Kacau rata hingga sebati semuanya. 
  • Masukkan kangkung & nasi. Pastikan nasi tidak berketul-ketul. Kacau & gaulkan semua hingga sebati semuanya. 
  • Rasa & jika kurang tambahkan sedikit garam. Kacau rata & biarkan semuanya seketika
  • Padamkan api & hidangkan


Friday, July 4, 2014

Little Penang Kafe


Apakah makanan yang best ada kat Pulau Pinang / Penang selain dari nasi kandar?  Char Kuey teow, Rojak Pasembur, Mee Kari, Cendol,  Assam Laksa & banyak lagi...Tidak ada siapa boleh nafikan yang Penang adalah syurga makanan....Cik kuali pun juga adalah pengemar menu makanan dari Penang...Di KL pun anda boleh rasa makanan sedap dari Pulau Pinang... Cik kuali nak share pasal Little Penang Kafe.. 

Little Penang Kafe sebuah restoran yang bercirikan kopitiam lama seperti di Penang. Terdapat 3 cawangan disekitar Lembah Klang iaitu di KLCC, The Curve & Mid Valley. Menu yang popular di restoran ini ialah Penang Char Kuey teow. Cik kuali pernah rasa, memang sedap & banyak isinya seperti udang, isi ketam & kerang....Assam Laksa juga cukup rasa dan kuahnya sedap2 tekak kita je.... Cik kuali biasa pergi di cawangan KLCC. Pada waktu makan tengahari sangat ramai hingga perlu beratur di luar restoran untuk dapatkan tempat duduk. Untuk bulan puasa, seeloknya buat tempahan awal supaya senang pada waktu berbuka nanti....


Menu Little Penang Kafe
Biasanya cik kuali akan order char kuey teow, tapi kali ini cik kuali cuba Mee Kari Pulau Pinang plak. Sedap, berperisa, cukup semua bahan-bahannya....Encik D pulak menikmati Set Acar Ikan....Menu tambahan pula kami order Pie Tee @ Top Hat....

Bandung Cincau pilihan Cik Kuali
Teh O Ais pilihan Encik D
Set Acar Ikan - Nasi + Acar Ikan + Kerabu pucuk paku + Lobak + Sambal Belacan
Kerabu Pucuk Paku

Acar Ikan...Sedap!

Pie Tee... Sedap! 5 bintang
Mee Kari Pulau Pinang 
Setakat ini apa yang cik kuali order dari menu Little Penang Kafe sangat berpuas hati dengan rasa dan hidangannya....Untuk pengemar makanan dari Pulau Pinang boleh cuba di restoran ini...InsyaAllah tidak akan kecewakan anda...

Cik Kuali
Encik D





Wednesday, July 2, 2014

Udang Goreng Nestum



Apa lagi yang kita boleh buat dengan udang selain dari sambal petai? Goreng kunyit pun best jugak...Goreng ngn mentega mcm kat restoran pun ok jugak....Bila nak masak benda-benda macam ni yg duk keluar dari kepala....Mula-mula berangan nak masak itu ini, lepas tu kang lauk simple je...Heheheheh...Tapi biasanya yang simple tu enak.....Hari ini cik kuali nak kongsikan resepi Udang Nestum....Cik kuali pernah makan dulu Udang Nestum kat restoran, pastu tak teringat nak cari resepi nya....Hari ni pulak tekak ni tergedik-gedik nak udang nestum...Bak kata Encik D, "awak tu semuanya teringin"....Hehehehehe...Alasan cik kuali memang begitu....

Bahan-bahannya:-
10-15 ekor size sederhana besar (dibersihkan, kulit jgn dibuang, digunting belakang udang)
1 cawan nestum
4 biji cili padi (dihiris halus)
2 tangkai daun kari
1 ulas bawang putih (dihiris halus)
2 sudu mentega
1/2 sudu kecil gula
Secubit garam

Cara Membuatnya :-
  • Udang yang telah dibersihkan, ditoskan & digaulkan dengan sedikit garam. Panaskan minyak untuk mengoreng dengan api sederhana besar.


  • Goreng udang hingga garing. Angkat & ketepikan.
  • Guna kuali lain (jika guna kuali sama, keluarkan minyak mengoreng udang tadi), masukkan butter, bawang putih, daun kari & cili padi. Tambahkan gula & garam.
  • Kacau rata hingga semua bahan sedikit garing (daun kari akan bunyi "pop"). 

  • Kemudian masukkan udang & nestum. Kacau hingga semua bahan sebati. 
  • Setelah sebati, padamkan api. Hidangkan

Tuesday, July 1, 2014

Kuih Cara Berlauk




Bila bulan Ramadhan mula la tekak ni macam2 nak makan...kuih itu...kuih ini....Dulu cik kuali suka jgk pergi ke bazaar Ramadhan utk cari juadah yg teringin...Tapi tahun lepas encik d bg assignment katanya tidak ada makanan dari bazaar....Apa lagi cik kuali pun gigih belajar macam2 menu.....Puasa tahun ini pun sama no bazaar food kata beliau....Hari ini cik kuali teringin kuih cara berlauk....bahan-bahan pun elok plak ade kat dapur....Jom kita tgk resepinya....

Bahan-Bahannya :-
1 1/2  cawan tepung gandum
250ml santan
1 biji telur
1 titik pewarna makanan - kuning
1 sudu kecil gula
1/4 sudu kecil garam

Bahan-Bahan Inti :-
100 gram daging kisar (cik kuali guna ayam kisar)
1 biji bawang besar (dipotong dadu)

2 ulas bawang putih (dicincang halus)
1 sudu besar rempah kari
1 sudu kecil cili boh / cili kisar
Sedikit air 
Beberapa helai daun sup & daun bawang (dihirs halus)
1 biji cili merah (dibuang biji nya & dihiris dadu halus)
Garam & gula secukup rasa

Cara Membuatnya :-

  • Panaskan sedikit minyak untuk menumis. Tumiskan bawang putih & bawang besar hingga naik bau.
  • Kemudian masukkan rempah kari & cili kisar. Kacau rata hingga rempah garing.
  • Masukkan daging / ayam kisar & sedikit air. Kacau supaya daging tidak berketul-ketul. 
  • Tambahkan garam & gula secukup rasa. Akhir sekali masukkan sebahagian daun bawang, daun sup & cili merah (simpan sebahagian untuk hiasan)
  • Rasa & jika ok padamkan api. Ketepikan & biarkan ia sejuk

  • Untuk bancuhan tepung. Boleh guna mixer atau blender supaya tepung tidak berketul / berbintil. 
  • Masukkan semua bahan dalam blender. Kisarkan hingga halus. 
  • Panaskan acuan. Gunakan api yang paling kecil sekali. Sapukan minyak setiap cetak acuan. (cik kuali guna daun pandan yg disimpul)


  • Setelah acuan cukup panas, tuangkan bancuhan kedalam setiap cetak acuan. Jangan sampai penuh acuan hanya 3/4 penuh sahaja. (Lebih mudah gunakan jug kecil untuk tuang bancuhan kedalam acuan)

  • Kemudian masukkan inti disetiap bancuhan tepung. Gunakan sudu kecil untuk lebih mudah. Taburkan daun bawang, daun sup & cili disetiap acuan.


  • Tutup permukaan acuan dengan tudung periuk & biarkan lebih kurang 3 minit. Buka tudung periuk & permukaan kuih sudah kering boleh diangkat kuih tersebut. Ulang kaedah yg sama hingga habis bancuhan tepung.
  • Resepi ini boleh dapat 30-35 biji kuih cara berlauk & bergantung size acuan yang anda gunakan.






Monday, June 30, 2014

Rendang Ayam



Bila bulan puasa cik kuali ni mcm kena sawan memasak....kalau tidak malas sungguh nak ke dapur.....Encik D pun senyum je la bila isteri nya dah mula rajin balik....Untuk menu hari pertama Ramadhan cik kuali buat rendang ayam....Ini requestdari encik D saya la...Kebiasaannya mama cik kuali akan masak rendang ayam pada hari pertama bersahur....Rendang ni sebenarnya tak perlu tunggu raya je kita boleh hidangkan....Hari apa sekali pun boleh saja....

Bahan-bahannya:-
1 ekor ayam (potong 16) (Cik kuali guna 4 ketul bahagian peha)
2 helai daun kunyit
4 helai daun limau purut
2 keping asam keping / asam gelugor
4 sudu besar kerisik 
Santan (1 biji kelapa akan dapat lebih kurang 2 cawan santan)
1 senduk nasi cili kisar / cili boh
Garam & gula secukupnya

Bahan kisar
2 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
5 ulas bawang merah
4 batang serai
1 inci kunyit hidup (cik kuali guna serbuk kunyit)
3 inci halia
1 inci lengkuas

Cara Membuatnya:-

  • Ayam dibersihkan & toskan. Kemudian masukkan ayam kedalam kuali yg sederhana besar
  • Kisarkan semua bahan-bahan kisar hingga halus. Masukkan kedalam kuali yang berisi ayam tadi.Tambahkan santan, cili kisar & asam keping.
  • Masakkan kesemuanya dengan api sederhana. Kacau hingga semua bahan sebati.
  • Kacau rata sekali sekala. Masak hingga ayam empuk & kuahnya sebati. Kemudian masukkan garam, gula, kerisik, daun kunyit & daun limau kasturi.
  • Rasa & masak hingga kuah agak pekat. Cik kuali suka berkuah sedikit tidak terlalu pekat sangat. Terpulang pada kehendak masing-masing.
  • Jika ok, padamkan api & hidangkan.

Saturday, June 28, 2014

Kacang & Ikan Bilis Pedas


Sahur....sahur....Alhamdulillah diberi kesempatan utk berpuasa di Bulan Ramadhan....Semoga segala amalan kita diterima oleh Nya.....Apa menu bersahur uolls? Menu cik kuali sgt mudah & simple Kacang & Ikan bilis pedas....Menu ni kita boleh sediakan awal sebelum berpuasa....Kita simpan dalam botol atau balang untuk tahan lebih lama.....

Bahan-Bahannya:
100gram ikan bilis (lebih kurang 2 genggam)
300gram kacang tanah 
2 ulas bawang putih (ditumbuk halus)
2 senduk nasi cili boh / cili kisar
1 senduk nasi gula
Secubit garam

Cara Membuatnya:

  • Panaskan minyak dengan api sederhana untuk mengoreng ikan bilis & kacang tanah. 
  • Gorengkan ikan bilis, kemudian kacang tanah. Setelah garing, angkat & toskan.
  • Panaskan minyak untuk menumis (boleh guna kuali sama & kurangkan sedikit minyak mengoreng tadi)
  • Tumiskan bawang putih & cili boh. Tambahkan gula dan garam
  • Kacau hingga cili garing. Rasa cili jika kurang garam tambahkan sedikit garam.
  • Setelah garing masukkan ikan bilis & kacang tanah yang digoreng awal tadi.
  • Kacau rata hingga sebati semuanya. Padamkan api.
  • Setelah kacang & ikan bilis pedas ini sejuk, simpankan didalam botol atau bekas kedap udara.

Tuesday, June 24, 2014

Sambal Udang Petai Ala Thai



Udang & Petai memang semua sedia maklum gabungan yang serasi bersama gitu...Sambal udang petai adalah kegemaran cik kuali...Kali ini cik kuali nak share resepi sambal udang petai ala thai....Cik kuali agak rajin sikit sekarang ni utk memasak...Selepas diperli Encik D, nak jual tong gas katanya....Kalau tong gas dah dijual mcm mana dapur cik kuali nak berasapkan....Gitu ler cite nya....Jom kita masak!

Bahan-Bahannya :-

15-20 ekor udang bersaiz sederhana
3 papan petai
4 senduk nasi cili kisar
2 biji bawang besar (1 dipotong bulat, 1 untuk dikisar)
1/2 inci belacan
1/4 cawan air asam jawa
3 helai daun limau kasturi
Garam dan gula secukup rasa


Cara Membuatnya :-


  • Udang dibersihkan. Petai diambil isinya. Kisarkan cili kisar bersama bawang besar dan belacan
  • Panaskan minyak untuk mengoreng. Gorengkan udang sekejap. Angkat dan ketepikan
  • Kemudian panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan kisar hingga garing. Tambahkan garam & gula.
  • Kemudian masukkan petai, daun limau purut dan bawang besar yang dipotong bulat. Kacau rata.
  • Tambahkan air asam jawa & udang yg telah digoreng awal tadi. Kacau rata dengan api sederhana hingga sambal sedikit pekat.Rasa dan jika ok boleh dihidangkan.

Monday, June 2, 2014

Sup Soo Hoon & Telur Puyuh


Mintak maaf & ampun semua kerana cik kuali sekejap timbul sekejap tenggelam update blog.....Alhamdulillah sekarang kesihatan dah semakin baik & pulih serta boleh kembali beraksi didapur....kalau tidak encik d dah mula pikir nak jual tong gas cik kuali....Dikala cuaca agak panas dan tekak kurang berselera, cik kuali masak simple je...sup soo hoon dan dicampurkan sikit telur puyuh....bila ada sup soo hoon boleh tambah lauk sambal lain contohnye, ikan goreng sambal, sambal sardin, sambal ikan bilis atau apa-apa saja....menu yg cik kuali nak share ni boleh dimakan 2-3 orang

Bahan-Bahannya :-

2 keping fucuk (direndam hingga lembut & potong kecil)
Secekak soo hoon (direndam hingga lembut & potong pendek)
3 biji kentang saiz sederhana (dipotong 4 & rendam dgn air)
10 biji telur puyuh (direbus terlebih dahulu hingga masak & kupas kulitnya)
3 ulas bawang merah (dihiris halus)
2 ulas bawang putih (dihiris halus)
1 sudu makan udang kering (direndam)
700ml air (atau secukupnya)
Garam secukupnya

Cara Membuatnya :-

  • Panaskan periuk dengan api sederhana & sedikit minyak untuk menumis.
  • Tumiskan bawang merah & bawang putih hingga naik bau (jangan sampai garing). Kemudian toskan udang kering dan tumiskan bersama bawang tadi.
  • Setelah udang kering sedikit garing, masukkan air, kentang & sedikit garam.
  • Ambil penutup periuk dan tutup periuk tersebut supaya kentang cepat empuk.
  • Kemudian toskan fucuk & soo hoon. Jika kentang telah empuk, masukkan fucuk & soo hoon.
  • Rasa dan jika kurang garam tambahkan sedikit garam. Biarkan fucuk & soo hoon masak seketika.
  • Akhir sekali masukkan telur puyuh yg telah direbus terlebih dahulu. Kacau rata hingga sebati semuanya.
  • Rasa dan jika ok. Padamkan api & hidangkan




Wednesday, May 14, 2014

Carrot Cake with Cream Cheese Frosting




Lama cik kuali tak baking....dulu baking ni mmg cik kuali buat utk side income....jual beraneka jenis cake & cupcakes...Sekarang ni dah jarang sangat buatnya...kalau ade pun saja utk makan-makan sendiri.....So uolls arini cik kuali nak share resepi carrot cake yg senang jugak nak buatnya....Kalau ada carrot lebih-lebih kat rumah jgn disimpan saja....apa kata kita buat kan kek..boleh buat juadah utk minum petang....

Bahan-bahannya:-

Carrot Cake
225ml minyak sayur / jagung
4 biji telur
210gram gula kastor
110gram nenas dalam tin (dipotong halus)
50grm kacang walnut (dicincang)
70grm kismis kuning / golden raisin
200gram lobak merah (diparut halus)
200gram tepung roti / tepung berprotein tinggi (diayak)
2 sudu kecil serbuk penaik / baking powder 
1 sudu kecil serbuk soda / baking soda

Cream Cheese Frosting
250gram Cream Cheese (dibiarkan pada suhu bilik)
60 gram mentega
60gram gula icing

Cara Membuatnya:-

Carrot Cake

  • Lobak merah yang telah diparut dibakarkan sekejap lebih kurang 15-20 minit dengan suhu 160 darjah Celcius. 
  • Dalam mangkuk mixer, masukkan minyak jagung, gula kastor & telur. Pukulkan semua bahan ini dengan menggunakan kelajuan yg tinggi sehingga kembang.
  • Kemudian tambahkan nenas, lobak merah, walnut & kismis. Pukul bahan ini dengan kelajuan yg sederhana.
  • Akhir sekali masukkan tepung roti, serbuk penaik & serbuk soda. Pukul semua bahan hingga sebati. dengan kelajuan yg rendah.
  • Gunakan tin pembakar bersaiz 9". Alaskan tin pembakar dengan kertas pembakar (baking paper) & sapukan mentega disekeliling tin pembakar.
  • Masukkan adunan ke dalam tin pembakar & bakar pada suhu 160 darjah Celcius selama 45 minit. 
  • Setelah masak, keluarkan dari ketuhar pembakar & biarkan sejuk seketika baru keluarkan dari tin pembakar.
  • Biarkan kek sejuk kemudian dihiaskan & disapukan dengan cream cheese frosting diatasnya. 


Cream Cheese Frosting

  • Masukkan kesemua bahan ke dalam mangkuk mixer. Pukulkan semua bahan hingga kembang & sebati.
  • Sapukkan keatas kek yang telah sejuk dan hidangkan.

Thursday, April 3, 2014

Pizza Udang & Cendawan


Pizza oh pizza.....Semua org pasti gemar makan pizza kan? Termasuk la Cik kuali pun suka sgt....Bila kita dapat buat sendiri pizza ni, pelbagai menu yg kita boleh olah untuk menjadikan pizza kita sedap....Yang penting doh pizza mesti sempurna....Untuk topping atau diatas pizza ikut pada kretiviti kita dan apa yg kita suka....

Bahan-Bahannya :-

4 cawan tepung roti (diayak)
1 sudu kecil gula
1 paket yis segera
1 1/2 cawan air suam
2 sudu besar minyak zaitun
2 sudu kecil garam

10 ekor udang size sederhana besar (dibuang kulit & dicuci bersih)
8-10 biji cendawan butang (dipotong kecil)
1 biji bawang besar (dipotong dadu)
1/2 biji cili benggala (dipotong dadu)
3 sudu besar sos spaghetti Kimball Traditional
1 cawan keju mozarella, Parmesan & Cheddar (cik kuali guna jenama Perfect Italiano) 




Cara Membuatnya :-


  •  Campurkan yis & air suam. Kacau & biarkan ia 10 minit.
  • Dalam satu mangkuk besar, campurkan tepung roti, gula, garam, adunan yis & minyak zaitun. Gaul semua bahan hingga sebati. 
  • Tutup mangkuk dengan "cling plastic" & rehatkan doh selama 1 jam serta doh menjadi 2 kali ganda.
  • Setelah 1 jam, tumbukkan bahagian tengah doh & doh akan menyusut. Kemudian bahagikan doh kepada 2 bahagian. Bulatkan setiap doh & tutupkan dengan "cling plastic" selama 10 minit.
  • Panaskan ketuhar pembakar 220 darjah Celcius.
  • Ambil 1 bahagian, canaikan ia hingga ketebalan 1/2 inci & 10 inci diameter (anggaran). Biarkan doh seketika.

  • Sapukan sos Kimball diatas doh, susunkan udang, & taburkan cendawan, bawang besar serta cili benggala. 
  • Akhir sekali taburkan keju & menutupi seluruh bahan. Bakarkan selama 15-20 minit (keju akan cair serta doh menjadi warna keperangan)
  • Setelah pizza masak, sejukkan seketika kemudian potongkan ia. 
  • Hidangkan. 

Thursday, February 20, 2014

Gulai Lemak Cili Api Pisang Muda


Sekali sekala layan lauk kampung memang sedap.... Kalau cukup semua bahan boleh buat sambal belacan utk cicah dengan ulam....Pastu ada pulak ikan masin goreng...Memang makan nasi bertambah-tambah la ye...Apa menu cik kuali nak share ni? Uols mesti pernah makan gulai lemak pisang muda kan? Orang dulu-dulu sgt pandai menggunakan sayur & tanaman utk dijadikan lauk pauk...Gulai lemak ni kalau pedas mmg lagi ummmmph....Tapi cik kuali kena ingat kat rumah ni ade yang tak makan pedas....Siapa lagi kalau bukan Encik D....Dia cakap kalau pedas-pedas ni makanan jadi tak sedap....Emmm apa-apa jela.....Kalau uolls nak tahu pisang muda ni bergetah dan hati-hati sikit kalau membuang kulit nya...Takut getah terkena pada baju...Nak potong pisang muda ikut pada cara masing-masing....Cik kuali basuh bersih dahulu kulit pisang ni kerana kita nak masak dengan kulitnya sekali....Biasanya akan siat kulit pisang tapi tidak buangnya...siat separuh utk nampakkan isi nya dan potong serong isinya...

Bahan-Bahannya:-

1 biji santan kelapa
1 sisir pisang muda (cik kuali guna pisang kapas) 
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
10 biji cili padi (boleh tambah lagi jika ingin pedas)
2 biji cili merah
1 genggam ikan bilis (direndam terlebih dahulu)
1 batang serai (dititik/diketuk sedikit)
1 keping asam keping
Air secukupnya
Garam secukup rasa

Cara Membuatnya:-
  • Pisang dibersihkan, siatkan kulit tapi jangan dibuang habis. Isinya dipotong serong dengan sederhana tebal.
  • Kisarkan bawang merah, bawang putih, cili merah, cili padi & ikan bilis dengan sedikit santan hingga halus.
  • Dalam periuk, masukkan pisang & bahan kisar. Tambahkan serai, asam keping & garam.
  • Masakkan diatas api sederhana & kacau selalu. (Jangan ditinggalkan)
  • Kemudian tambahkan santan (jika pekat tambahkan sedikit air). Kacau selalu hingga mendidih & pisang empuk
  • Rasa & jika ok padamkan api. Hidangkan.    

Saturday, February 15, 2014

Nasi Arab



Salam semua....Sorry la cik kuali agak suam-suam kuku je update blog...Sejak tahun baru hingga sekarang macam-macam aktiviti dgn family, business & kerja....Alhamdulillah syukur Allah bagi rezeki & kesihatan yang baik utk buat semua itu....Minggu ini kurang dah aktiviti luaran...So, tuan tanah kedaung @ Encik D request cik kuali memasak Nasi Arab.....Amboi siap bagi assignment nak suruh bini dia masak...Nasi Arab mcm mana pulak nak buat kan....Cik kuali bukan reti....Apa lagi, kalut la cik kuali cari resepi Nasi Arab....Alhamdulillah menjadi...Ni cik kuali nak share resepinye....Resepi ini utk 3-4 orang makan yer...

Bahan-Bahannya

Nasi Arab
1 ekor ayam (dibersihkan) cik kuali guna 4 ketul peha ayam
1 liter air (paras2 ayam tenggelam)
2 inci halia (diketuk sedikit)
1 sudu besar minyak masak
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu kecil serbuk lada hitam
1 sudu kecil serbuk ketumbar
1 sudu kecil serbuk jintan manis
1 sudu kecil serbuk jintan putih
1 helai daun salam / daun bay
4 pot beras basmathi
5 ulas bawang putih - dihiris halus 
2 biji bawang besar - dipotong dadu
1 batang kulit kayu manis
5 kuntum bunga cengkih
1 kuntum bunga lawang
1 helai daun salam / daun bay
1/2 cawan minyak zaitun 
1/2 sudu besar minyak sapi
Garam secukup rasa

Cara Membuatnya

  • Masukkan ayam yang telah dibersihkan ke dalam periuk.
  • Tambahkan air, halia, minyak masak, serbuk kunyit, serbuk lada hitam, serbuk ketumbar, serbuk jintan manis, serbuk jintan putih, daun salam & garam secukup rasa.
  • Didihkan semua bahan sehingga ayam empuk. Setelah ayam masak, angkat & toskan. Ketepikan
  • Sukat air rebusan mengikut berapa pot beras & masukkan kedalam periuk nasi.(4 pot beras = 5 pot air rebusan)
  • Cuci beras dan toskan. Masukkan ke dalam periuk nasi.
  • Gunakan kuali kecil. Panaskan minyak zaiton dan minyak sapi. Tumiskan bawang putih, bawang besar, kulit kayu manis, bunga cengkih, bunga lawang & daun salam. 
  • Tumis hingga naik bau. Padamkan api. Masukkan semua bahan tumis & minyak ke dalam periuk nasi. Kemudian kacau rata semua bahan dengan beras & tekan suis periuk nasi. Biarkan hingga nasi masak.
  • Ayam tadi disusun diatas dulang pembakar & bakarkan selama 20 minit dengan suhu 160 darjah celcius. 
  • Setelah nasi masak, hidangkan bersama ayam, sos harrah & salad arab. Sedap dimakan panas.

Sos Harrah / Salata Hara
2 biji tomato
2 ulas bawang putih
1 sudu kecil perahan lemon
3 biji cili padi
Beberapa helai daun ketumbar
Sedikit garam 

  • Kisar semua bahan tanpa air (lebih elok jika guna food processor)
  • Rasa dan siap dihidangkan


Salad Arab
1 biji timun (size sederhana)(dipotong dadu)
1 biji tomato (dipotong dadu)
1 biji bawang besar (dipotong dadu)
Beberapa helai daun ketumbar (dihiris halus)
Sedikit garam & lada hitam

  • Kacau semua bahan. Siap dihidangkan

Tuesday, January 7, 2014

Sambal Cincalok


Cincalok / Chinchalok / Cencaluk adalah benda yang sama....Asal usul cincalok sudah semestinya dari Melaka dan diperbuat daripada udang geragau (udang kepai / udang kecil)....Udang geragu segar yg dicampurkan dengan nasi & garam kemudian diperam selama 3-4 hari menjadikan ia sebagai cincalok....Zaman cik kuali sekolah rendah, family cik kuali pernah tinggal kat area Pantai Kundur Melaka....Orang-orang kampung kat sini memang pakar membuat belacan dan cincalok....Udang geragau segar pun kalau dibuat cekodok / jemput-jemput memang sedap....serius tak tipu...Senang cerita semua sedap kalau guna udang geragau.....Berbalik pada motif cik kuali hari ini ialah nak kongsi ngn uolls bagaimana nikmatnya nak makan cincalok ni...Kalau kita biasa beli sebotol cincalok yg harga nya sekarang RM 5.00...Apa yg uolls rasa dari cincalok tu? Mesti masin yg teramat sangat kan....Haaa ni cik kuali nak cite mcm mana nak buat cincalok lagi sedap dimakan....Kalau ade asam pedas, cincalok, ikan masin & ulama memang makan dengan berseleranya la kan....... 

Bahan-Bahanya:-

2-3 sudu besar Cincalok
1 biji bawang besar (dihiris nipis)
3 biji cili padi (dipotong nipis) (boleh tambah lagi jika ingin pedas)
1 biji perahan limau kasturi (dibuang biji)

Cara Membuatnya :-

  • Dalam satu mangkuk, campurkan cincalok, bawang besar, cili padi & perahan limau
  • Gaulkan hingga sebati semuanya.
  • Kemudian hidangkan bersama dengan lauk kegemaran anda....