Thursday, May 30, 2013

Gulai Ayam Kedentum



Kerlasss tak nama resepi cik kuali....Mana cik kuali dapat nama ni, Mama cik kuali yang bagi namanya sbb resepi ini dari Arwah Atah (panggilan nenek kami sebelah ayah)...Nama sebenar-benar resepi ini cik kuali tak tau ...Gulai Ayam ini kegemaran zaman kanak-kanak cik kuali.....Bila pulang dari tadika akan duduk kat umah Atah sampai petang. Biasanya Atah suka masak lauk ini...Bila dah kata kegemaran selalu la request kat Atah....Bila balik rumah Mama, cik kuali selalu cerita pasal  lauk ayam kuning Atah yang sedap..Zaman kecik, sebut nama lauk mesti nak kaitkan dengan warna-warna....Dah selalu sgt sebut lauk kuning, Mama pun try mintak resepi dgn Atah...Mama cerita, kalau nak mintak resepi dgn Atah @ mak mentua dia kena ikut mood dia ok ke tak...hehehe Arwah Atah cik kuali mmg bab masak superb...tak perlu buku resepi bagai semua ade dalam kepala dia...bole ingat segala sukatan...terror...Atah cik kuali punya style, dia akan bagi resepi time borak-borak lepas selesai makan semua...jgn time masak sibuk tnya resepi...sbb resepi dalam kepala kan....Mama cik kuali pulak mmg selalu sediakan buku nota kecik & pen dalam handbag dia sebab dia tau Mak mentua dia kalau nak bagi resepi susah dijangka bila nak bagi...Sebab kadang tu tengah duk borak cerita lain boleh selit pasal resepi....time tu tangan terus cepat-cepat capai pen dan kertas....Resepi gulai ayam ini pun sama jugak mama cerita, mula-mula tanya Atah, dia susah nak bagi...tapi bila mama pandai "cucuk jarum" nya baru dia bagi....tu yang jadi nama nya "Gulai Ayam Kedentum"....apa pun,  Atah saya mmg the best! Al-Fatihah untuk Atah - Allahyarhamah Raja Noraini bte Raja Yusuf....ok uolls meh kita tgk mcm mana nak masak lauk ni...

Bahan-Bahannya :- (untuk 3 orang makan)

1/2 ekor ayam (dipotong ikut suka anda & dibersihkan)
200ml pati santan
500ml santan cair
1 sudu besar cili kisar (boleh tambah jika ingin pedas)
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
2 batang serai (diketuk)
2 inci halia (diketuk)
1 helai daun kunyit (diikat simpul)
1 keping asam keping / asam gelugor
Sedikit kerisik
Sedikit serbuk kunyit
Garam & gula secukup rasa

Cara Membuatnya :-
  • Ayam yang telah dibersihkan boleh digaul dengan sedikit garam serta kunyit serbuk. Ketepikan.
  • Kisar bawang merah, bawang putih bersama dengan sedikit air.
  • Dalam kuali, (tak perlu tumis) masukkan bahan kisar, cili kisar, ayam, santan cair, daun kunyit, serai, halia dan asam keping.
  • Masak dengan api sederhana. Kacau rata semua bahan tadi hingga sebati.
  • Tambahkan garam dan gula secukup rasa. Tuangkan santan pekat & masukkan kerisik. 
  • Biarkan hingga mendidih dan ayam empuk.
  • Rasa dan jika ok padamkan api dan hidangkan bersama nasi panas.    




Monday, May 27, 2013

Popiah Ayam

  

  Siapa pernah makan popiah?...Angkat tangan!!...Popiah yang kita biasa makan ada 2 jenis, popiah goreng dan popiah basah. Popiah goreng intinya pula ada sengkuang, taugeh dan dituangkan sos diatasnya. Manakala popiah basah, berkulit putih nipis dan disapukan sambal kemudian diikuti dengan bahan-bahan lain seperti sengkuang, lobak merah, udang kering dan sebagainya.   Asal usul popiah ini cik kuali kurang pasti, tapi popiah ini biasa dikaitkan dengan masyarakat cina. Di pasar malam atau bazar ramadhan pula selalu kita tengok org beratur panjang untuk membelinya. Pada cik kuali, popiah tak kira goreng atau basah keduanya sedap dimakan.
   Semalam lepas pulang dari kampung halaman yang tak berapa nak jauh sangat tu...cik kuali fikir apa yang nak buat untuk minum petang. Kulit popiah memang dah dibeli minggu sudah....jenguk-jenguk peti sejuk bahan-bahan lain pun ada. Cik kuali meneruskan misi untuk membuat popiah goreng. Untuk inti cik kuali suka yang betul-betul berinti. Contohnya letakkan isi ayam, isi udang ataupun isi ketam. Baru sedap makan fofiah...hehehhe



Ini contoh kulit popiah yang cik kuali guna. Jenama KG Pastry berbungkus biru. Yang penting halal.


Inti yang telah siap dimasak. Tunggu untuk digulung dengan kulit popiah. Cik kuali suka inti sedikit basah dan tidak terlalu kering sangat. Tapi janganlah basah sangat yer uolls nnti nak gulung kulit popiah susah sbb mudah terkoyak kulit popiah jika inti terlalu basah. Nak try buat ini cik kuali share resepinya.

Bahan-Bahannya:-
25 keping kulit popiah
200grm isi ayam kisar (cik kuali guna jenama ramly)
500grm sayur campuran - kacang peas, lobak merah & jagung (mixed veggie)
2 ulas bawang putih (dikisar halus)
200grm @ 1/2 tin susu cair / evaporated milk
Beberapa helai daun sup & daun bawang (dipotong halus)
1 sudu besar tepung jagung (dibancuh dgn sedikit air)
1 sudu kecil serbuk lada sulah
Garam secukupnya

Cara Membuatnya:-

Inti Popiah
  • Panaskan kuali dengan sedikit minyak. tumis bawang putih hingga naik bau. Kemudian masukkan isi ayam kisar serta lada sulah.
  • Kacau rata hingga ayam empuk. Isi ayam jangan biar berketul-ketul. Tekan-tekan sedikit dengan sudip.
  • Kemudian boleh masukkan sedikit garam dan sayur campuran. 
  • Tambahkan susu cair. Kacau rata semuanya. 
  • Akhir sekali masukkan tepung jagung untuk bagi kepekatan dan daun sup serta daun bawang.
  • Biarkan seketika hingga pekat. Rasa dan jika ok boleh dipadamkan api
  • Angkat dan biarkan inti ini sejuk
Untuk Popiah
  • Sediakan sedikit bancuhan tepung untuk membuat gam. Anda boleh guna 1 sudu besar tepung gandum atau tepung jagung dan bancuh dengan sedikit air.
  • Ambil sekeping kulit popiah. Diletakkan 1 sudu besar inti dan gulung kulit popiah hingga hujung.  
  • Dihujung sekali sapukan sedikit bancuhan tepung (gam) dan lekatkan.
  • Buat hingga inti habis. Kebiasaannya dengan inti sebanyak ini akan dapat hasilkan sebanyak 25-30 keping popiah
  • Untuk dihidangkan - Panaskan minyank dengan api sederhana. Goreng hingga kuning keemasan. angkat dan toskan. Hidangkan bersama kuah sos cili

Friday, May 24, 2013

Siakap Suka Hati


Masalah kekapis nak masak apa dah selesai...ini masalah siakap pulak nak masak apa...konon pada asal nya nak dimasakkan 3 rasa...tapi encik D cakap mcm dah jemu dengar 3 rasa....cuba buat lain katanya...wahhhh kalau dia tolong masakkan tak pe jugak...ini cik kuali jugak yang pikir nak masaka apa..sudah nya ikut suka hati cik kuali la resepinya kan....

Bahan-bahannya :- 
1 ekor ikan siakap (dibersihkan)
2 senduk nasi cili kisar / cili boh
5 ulas bawang kecil
2 ulas  bawang putih
1/2 biji timun (dipotong dadu)
1/2 biji lada benggala / capsicum (dipotong dadu)
1 biji bawang besar (dipotong bulat)
Beberapa tangkai daun sup & daun bawang (dipotong kasar)
Garam dan gula secukup rasa

Cara Membuatnya :-

  • Panaskan minyak untuk mengoreng ikan. Ikan ditabur sedikit garam. Kemudian goreng hingga garing. Ketepikan.
  • Kisar cili kisar bersama bawang kecil & bawang putih
  • Panaskan sedikit minyak. Tumis bahan kisar hingga garing. Tambahkan sedikit garam dan gula. Kacau rata.
  • Kemudian masukkan lada benggala, timun dan bawang besar. Biarkan seketika.
  • Rasa dan jika ok bole dituangkan diatas ikan.
  • Taburkan daun sup dan daun bawang. Hidangkan bersama nasi panas.

Paprik Kekapis


Kekapis.....mcm kembang kempis je bunyi nye...hehehhe...tak la...kekapis ni dalam sebutan english nya "scallop"....Cik Kuali gi pasar malam ari Rabu aritu, ternampak ada seorang pakcik duk leka susun kekapis dalam pinggan.....tnya pakcik berapa dia jual sepinggan...dia jawab rm5.00 jer.....cik kuali pun beli la sepinggan...sebelum ni pernah makan scallop tapi memasak nya belum pernah lagi...so tak berani nak  beli banyak sebab takut tak jadik pulak lauk nya..Di hari Jumaat yang mulia ini tambahan pulak hari cuti, cik kuali try la nak masak kekapis ni...


Ini rupa kekapis dengan kulit cengkerang nya....cik kuali kopek ambil isi nya....isi putih gebu gitu....Dah dibersihkan cik kuali tenung kekapis nih apa yang sesuai nak masak ni....akhirnya Paprik yg menjelma memandangkan bahan-bahan lain pun ada....tapi cik kuali rasa uolls lagi terror masak paprik kan... :)

Bahan-Bahannya :-
400grm Kekapis / Scallop (dibersihkan)
1/2 batang lobak merah (dipotong nipis)
10 tangkai kacang panjang 
Sedikit bunga kobis (dipotong kecil)
1 biji tomato (dipotong 6)
1 biji bawang besar (dihiris)
8 biji cili padi (dititik)
2 ulas bawang putih (ditumbuk halus)
1 batang serai (dititik)
4 helai daun limau purut
2 camca besar sos tiram
2 camca besar sos cili
2 camca besar sos tomato
Sedikit sos ikan (tapi cik kuali tak guna)
Garam dan gula secukup rasa

Cara Membuatnya :-

  • Kekapis dikopek & dibersihkan. 
  • Panaskan sedikit minyak, tumis bawang putih, cili padi, serai dan bawang besar.
  • Kemudian masukkan daun limau purut, sos cili, sos tomato dan sos tiram, sedikit garam dan gula. Kacau rata.
  • Masukkan sayur lobak merah, bunga kobis dan kacang panjang. Gaul rata dan biar hingga sayur sedikit empuk / masak.
  • Tambahkan kekapis. Kacau hingga sebati. Biar seketika. Rasa dan jika ok boleh dipadamkan api. Kekapis tak sedap dimasak lama nanti liat isinya.

Wednesday, May 22, 2013

Sago Gula Melaka


Home sweet home...gitu katanya...Alhamdulillah cik kuali dah selamat pulang dari bumi kenyalang...Hari ini cik kuali sambung cuti lagi...Dapur pun masih tak berasap lagi...rehat2 kan badan katanya....Cerita pasal Kuching nanti cik kuali share ngn uolls yer....tapi hari ini Cik Kuali nak share resepi pencuci mulut yang paling cik kuali suka membuatnya dan makan.....Sago gula melaka...Ada sesiapa yang tak kenal sago ke....Biji sago berwarna putih & butiran seperti manik-manik putih...sago ni ade 2 saiz...satu yang halus comel, satu lagi saiz biji2 besar...yang cik kuali guna biasanya halus comel...Selain warna putih, biji sago ada juga warna hijau dan merah jambu...pinky pinky uolls...kalau uolls buat warna putih, boleh letak pewarna makanan yg disukai...


Contoh biji sago yang belum dimasak (seperti gambar diatas)...Bila dah masak biji sago ini akan bertukar biji-biji jernih...Nak buat sago gula melaka, bahan utama lain yang diperlukan of cos pati santan dan juga gula melaka...Ada juga yang suka makan dengan susu cair....ikut pada kegemaran masing-masing....Sukatan menu ini juga bergantung untuk dihidangkan kepada berapa orang...

Bahan-Bahannya :- (untuk 4 orang) 

Sago
2 cawan biji sago (cik kuali guna warna hijau) 
8 cawan air

Pati Santan
2 cawan pati santan / santan pekat
2 helai daun pandan (diikat simpul)
Secubit garam 

Gula Melaka
1 ketul gula melaka (dihiris kecil)
2 helai daun pandan (diikat simpul)
1 1/2 cawan air
1/2 cawan gula pasir

Cara Membuatnya

Sago

  • Rendam biji sago selama 1/2 jam. Kemudian panaskan air dalam periuk. Biarkan air mendidih.
  • Tos sago yang telah direndam, masukkan ke dalam periuk dengan air yang sedang mendidih. 
  • Kacau selalu sehingga biji sago bertukar ke warna jernih. Boleh tambah sedikit air jika agak pekat. 
  • Bila biji sago sudah bertukar jernih, padamkan api. Tuangkan dalam tapis dan cuci sago itu dibawah air paip untuk buang kanjinya.
  • Kemudian masukkan ke dalam acuan kecil dan biarkan sejuk didalam peti sejuk.
Pati Santan
  • Dalam satu periuk, masakkan pati santan, daun pandan dan secubit garam dengan api sederhana
  • Kacau selalu hingga mendidih
  • Padamkan api dan biarkan sejuk
Gula Melaka
  • Dalam satu periuk, masakkan gula melaka, air, gula pasir dan daun pandan dengan api sederhana.
  • Kacau dan biarkan gula melaka dan gula pasir larut. 
  • Masak hingga pekat. Padamkan api dan tapiskan.
  • Biarkan sejuk.
Cara Hidangkan
Keluarkan sago dari acuan dan letak dalam mangkuk hidangan. Makan bersama pati santan dan gula melaka. Sedap jika dihidangkan sejuk....

Monday, May 20, 2013

Sambal Tumis Udang dan Petai



Selamat Pagi...Bersiaran dari Bandar Kuching...wah mcm artis lak cik kuali nak bersiaran bagai....Yela sebabnya sekarang ini cik kuali sedang bercuti & berjalan2 di Bandar Kuching...Dapur memang tak berasap la jawapnya kan...Tapi hari ini cik kuali just nak share lauk sambal udang petai yang cik kuali hidangkan pada minggu lepas....Minggu lepas ada kawan kami datang lunch bersama dirumah kami, so cik kuali masakkan lauk ini...

Bahan-Bahannya :-

700 grm udang bersaiz sederhana
3 papan petai
4 senduk nasi cili kisar
2 biji bawang besar (1 dipotong kasar, 1 untuk dikisar)
1/2 inci belacan
1/2 cawan air asam jawa
Garam dan gula secukup rasa


Cara Membuatnya :-

  • Udang dibersihkan. Petai diambil isinya. Kisarkan cili kisar bersama bawang besar dan belacan.
  • Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan kisar hingga garing. Tambahkan garam & gula.
  • Kemudian masukkan udang, petai dan bawang besar yang dipotong kasar. Kacau rata.
  • Tambahkan air asam jawa. Kacau rata dengan api sederhana hingga sambal sedikit pekat.Rasa dan jika ok boleh dihidangkan.

Thursday, May 16, 2013

Ya Habibi Ali Baba sudah umur 33



14 May - Happy Birthday Encik D....Bila dah hari jadi ini, cik kuali pun cuti daripada memasak kerana nak la jugak tukar selera makan diluar...Bila tanya encik D, dia nak makan apa untuk birthday dia...Dia cakap teringin nak makan nasi arab....Sebelum tu, tepat jam 12.01 malam cik kuali dah celebrate dengan cupcakes yang comel dan sedap untuk encik D...Cik Kuali beli jer cupcakes tu kat kedai area KLCC ni...Nama kedainya Bisou Cake Shop....Jika uolls dtg KLCC kedai ini terletak di tingkat 3 berdekatan dengan TGV Cinema....Cupcakes dari kedai ini memang sedap....


Kita sambung balik pasal encik d teringin nak makan nasi arab tu kan...Cik Kuali pun Google la dimana restoran makanan arab yang bersesuaian...Yer di KL ni memang tersangat la banyak restoran makanan arab....tetapi cik kuali memilih dari segi faktor kedai di kawasan mana yang kurang kesesakkan lalu lintas... Memang kurang waras la jawabnya kalau kite memilih kedai untuk makan dikawasan yang hyper kesesakan lalulintas nya...dari pada gumbira nak makan terus hilang selera......Akhirnya cik kuali pilih Restoran Saba di Setiawangsa...sebab lepas makan senang sikit nak pulang ke rumah....Rasanya semua dah pernah dengar tentang Restoran Saba ni. Selain di Setiawangsa, restoran ini agak popular di Cyberjaya.... Dah sampai restoran arab apa lagi sudah tentu nya kami order Nasi Mandy dengan setengah ekor ayam dan kebab ayam....



Jika kita order Nasi Mandy Ayam ini untuk setengah ekor ayam memang cukup untuk 2-3 org makan kerana nasi mandy yang dihidangkan tersangat banyak...Naik mengah jugak kami nak habiskan..Nasi Mandy di Restoran Saba ini boleh dimakan begitu sahaja kerana keenakkan nasi itu sendiri...Kebab ayam dihidangkan dengan kentang goreng, salad, roti dah isi ayam yang telah diperap serta dipanggag...Dua-dua hidangan yang kami order ni memang sedap dan mengenyangkan...Harga pula sangat berpatutan dengan hidanganya..Nasi Mandy Ayam RM 17.00 & Kebab Ayam RM 15.00...Dah kenyang senang hati dan syukur dengan rezeki yang diberi oleh Allah....Alhamdulillah




Tuesday, May 14, 2013

Gelang Si Paku Gelang




  Hari Sabtu lepas kami pergi Pasar Tani Taman Melawati. Cik Kuali memang girang tak terkata la sebabnya dapat beli sayur, ikan & ayam segar. Terjumpa pulak Mummy kepada Zizie Ezette & Shaheizy Sam....Kebetulan encik D nak beli pokok bunga, sebelah encik d je Mummy Khaty tu tgh pilih pokok bunga jugak....Dia yg tegur kami dgn memberi salam & senyuman...Ramah uolls...Ok, itu kisah Pasar Tani kami....
  Dah ke Pasar Tani harus la jumpa sayur-sayur kampung kan uolls... Encik D yang mmg membesar di kampung jadinya lauk pauk kampung ini kira kegemaran la gitu....Encik D request Cik Kuali ni masak Gulai Lemak Pucuk Paku....
  Malam tadi cik kuali masakkan lauk permintaannya itu. Selain Gulai lemak, cik kuali buat ikan bakar. Kita guna Perencah Ikan Bakar Adabi (seperti gambar diatas)...First time nak cuba perencah ni...ala-ala mcm Ikan bakar  Portugis gitu...Perencah Ikan Bakar Adabi ni cukup rasa pedas dan masamnya. Cuma pada cik kuali kena tambah sedikit garam & gula. Anda boleh rasa sikit dulu sebelum dilumurkan pada ikan anda. Boleh diolah sendiri apa yang kurang. Ikan yang cik kuali guna ikan cencaru kecil yg dibelah sedikit perutnya. Setelah dibersihkan kita sumbatkan sambal kedalam perutnya. Kemudian dibakar. Ini pula bahan-bahan untuk gulai pucuk paku.     

Bahan-Bahannya :-
3 ikat pucuk paku (RM 1 seikat)
1 genggam ikan bilis
6 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci kunyit hidup atau 1/2 sudu kecil serbuk kunyit
2 biji cili merah
8 biji cili padi
2 batang sertai (dititik)
200ml pati santan
800ml santan cair
Garam secukup rasa

Cara Membuatnya :-
  • Pucuk paku dicuci bersih. Masakkan air dalam periuk dan masukkan sedikit garam.
  • Setelah air masak, masukkan pucuk paku dan biarkan hingga layu. Padamkan api dan toskan airnya. Kisar bawang merah, bawang putih, cili merah, cili padi, kunyit hidup & ikan bilis bersama dengan sedikit santan cair.
  • Masukkan bahan yang telah dikisar ke dalam periuk bersama santan cair, pucuk paku yang telah dicelur, serta serai.
  • Kacau selalu hingga mendidih. Kemudian masukkan santan pekat & garam secukupnya. Gaul rata hingga didih.
  •  Rasa jika ok boleh padam kan api.

Monday, May 13, 2013

"Afternoon Tea" Katanya


    Ini projek cik kuali buat minggu lepas...Saja nak buat sendiri kat rumah....Afternoon Tea ini biasa terdapat di hotel atau cafe eksklusif dengan harga RM50-RM80 seorang....Apa yang ada dengan "Afternoon Tea"? Pada kebiasaannya, Afternoon Tea akan dihidangkan dalam satu set lengkap dengan pelbagai jenis manisan dan savoury atau roti seperti macaroon, muffin, kek, cinnamon roll, scone, tart, croissant, sandwich dan lain-lain. Semua ini akan dihidangkan bersama minum panas. 

    Macam mana cik kuali boleh terpikir nak buat semua nih? Cik Kuali dapat hadiah teh Earl grey dari kakak ipar. Jadinya, untuk buatkan rasa earl grey itu lagi sesuai cik kuali buatkan la afternoon tea ini. Cik kuali beli cupcakes sedap dari Wondermilk, cinnamon roll & pastry dari Coldstorage, plain croissant dari Cake Sense. Cukup semua bahan-bahan ni kite boleh dah buat Afternoon Tea Party for 2 sbb berdua je kan... Kite ubah sikit dari plain croissant jadikan tuna croissant. Cik Kuali guna Tuna Mayonis dalam tin Ayambrand sajer & tambahkan sedikit daun salad. Menu tambahan lain, cik kuali buat egg sandwich..Mudah dan mengenyangkan. Untuk mencantikkan hidangan kita hidangkan dengan pinggan mangkuk yang kita ada. Cik Kuali ada pinggan bertingkat dari Ikea. Jadi kite gunakan la yer....Keluarkan set2 cawan hadiah perkahwinan dan gunakannya, jangan disimpan jer dalam almari tu...

  Sebenarnya menu manisan atau roti ini boleh diolah mengikut selera & kehendak anda. Sebagai contoh, tidak semestinya terhad kepada cupcakes atau kek sahaja, mungkin boleh ditukar kepada muffin yg comel. Croissant juga boleh dibiarkan kosong untuk dimakan dengan jem & mentega. Kretiviti terletak ditangan kita untuk menampakkan sesuatu itu cantik & sedap dimakan. Kos juga berpatutan jika kita bijak membelinya. Dengan semua yang cik kuali sediakan, kos yg dibelanja untuk membeli cupcakes, pastry dan bahan-bahan lain hanya RM25-RM30 untuk 2 orang. Bersantai dirumah dengan set Afternoon Tea buatan sendiri memang seronok.   


Thursday, May 9, 2013

Scrambled Egg Wraps



Scrambled egg wraps nama nye ha....omputih sgt kan...Sebenarnya, malam ni kami makan diluar sebab cik kuali agak malas nak memasak.....Dalam minggu ni angin malas memasak tu selalu sangat datang...Menu yang cik kuali nak cerita ni cik kuali sediakan untuk sarapan pagi tadi...Apa itu "wraps"? Jika dilihat pada rupa ada seperti capati...Wraps ni boleh didapati di pasaraya seperti Mydin, Giant, Aeon ataupun Tesco...dalam satu paket ada 8 keping dan juga ada beberapa perasa...macam Cik kuali suka yang perasa Original.....


Wraps cik kuali buat ni ada campur dgn sosej, sayuran sikit & keju selain daripada telur. Sayurannya cik kuali letak tomato dadu dan salad..cik kuali suka sayur "butterhead lettuce" sebab tahan lama dan juga rasa ranggup....Sebenarnya isi wraps anda boleh pelbagai seperti daging ayam panggang, nugget, daging burger atau jejari isi ketam..terpulang kepada selera anda.
Bahan-bahannya:-
3 keping wraps
3 biji telur
1 sudu besar mentega
1/4 cawan susu
2 keping sosej
6 keping Butterhead lettuce / daun salad (dibasuh)
1/2 biji tomato (dipotong dadu)
2 keping keju 
Sedikit mayonis 
Sedikit Serbuk lada hitam (yg kasar)(optional)
Sedikit Garam
Sedikit sos cili (jika ingin pedas)

Cara Membuatnya:-
  • Scrambled egg / Telur Hancur - Dalam satu mangkuk, kacau telur bersama garam dan susu. Panaskan kuali "non-stick" dan masukkan mentega. Biarkan mentega cair sedikit kemudian tuangkan bancuhan telur. Kacau selalu dengan api sederhana hingga telur menjadi sedikit ketul. Padamkan api. Ketepikan
  • Sosej anda boleh rebus / kukus atau gorengkan. Cik kuali rebus sahaja sosej kemudian dipotong nipis.
  • Panaskan Wraps atas kuali "non-stick" selama 1 minit. Jangan sampai garing nnti wraps menjadi keras dan liat.
  • Setelah panaskan wraps, sapukan mayonis diatasnya. Kemudian boleh diletakkan daun salad, keju, scrambled egg / telur hancur, sosej dan tomato.
  • Taburkan sedikit serbuk lada hitam. Gulungkan wraps dan potong dibahagian tengah wraps tersebut bagi memudahkan anda untuk makannya.
  • Hidangkan dengan sos kegemaran anda.





Tuesday, May 7, 2013

Telur Dadar Seafood


Hari ini menu kami lauk "recycle"....Cara mcm ni tiada pembaziran.. Kadang-kadang kita masak lauk terlebih....jgn dibuang tapi kita simpan dlm peti sejuk....ada hari kita tak kesempatan nak masak jadinya boleh panaskan semula lauk yg lebih hari itu...Jika ingin lauk pauk anda tahan lama, lebih elok simpan dibahagian dingin beku atau "freezer"....
Untuk malam ini cik kuali panaskan lauk yang ada & tambah satu menu untuk penambah selera...Telur dadar....cik kuali olah sikit telur dadar biasa jadikan telur dadar seafood uolss..senang aje...

Bahan-Bahannya :-

3 biji telur
1 sudu besar mayonis
5 ekor udang (dibersihkan)
2 jejari isi ketam
Sedikit daun bawang
Sedikit garam

Cara Membuatnya :-
  • Udang & jejari isi ketam dipotong nipis. Hiriskan daun bawang
  • Dalam mangkuk, pecahkan telur, mayonis, udang, isi ketam, daun bawang dan garam. Kacau rata semua bahan
  • Panaskan kuali dgn sedikit minyak. Masukkan bancuhan telur dan biarkan garing. Kemudian diterbalikkan dan biarkan masak.
  • Angkat dan hidangkan dengan menu kegemaran anda yang lain.


Monday, May 6, 2013

Sambal Tempe, Kentang & Ikan Bilis



Sambal Tempe & ikan bilis penambah selera...Ada sesetengah orang kurang gemar makan tempe...mungkin kalau digoreng kosong kurang sikit rasanya kan...Kita olahkan jadikan sambal tempe...Resepi cik kuali yang ini, cik kuali tambahkan kentang...memang layan rasanya...kalau tak nak makan dengan nasi, boleh diratah macam itu saja.....Ni resepi ringkas sambal tempe, kentang & ikan bilis...

Bahan-Bahannya:-
3 keping tempe - bungkus plastik (dipotong dadu)
2 biji kentang (dipotong jejari)
1 genggam ikan bilis 
2 ulas bawang putih (ditumbuk)
4 sudu besar cili kisar / cili kisar
2 sudu teh gula 
Garam secukupnya

Cara Membuatnya:-
  • Goreng tempe & kentang hingga garing. Angkat & toskan minyak. Kemudian basuh ikan bilis, gorengkan hingga garing. Angkat, toskan & ketepikan
  • Panaskan sedikit minyak, tumis bawang putih yang telah ditumbuk. Biarkan hingga naik bau dan masukkan cili kisar, gula & garam.
  • Kacau hingga cili garing. Setelah garing campurkan tempe, kentang & ikan bilis yang telah digoreng awal tadi.
  • Kacau rata hingga semua sebati dengan sambal. Padamkan api & hidangkan

Kari Ikan Senangin


Alhamdulillah semalam selesai mengundi...Segala keputusan telah diketahui...Apa-apa pun cik kuali rasa bersyukur kerana walau apa pun parti yang kita sokong, Malaysia masih aman dan tenteram...Semoga Allah memberkati negara kita ini...Hari ini cik kuali cuti...company cik kuali bagi cuti...yeayyyy...tapi encik D kena kerja....ehhh, duk umah bukan cuti yer...semua kerja rumah kena buat jugak uolls...So hari ini menu cik kuali Kari Ikan & Sambal Tempe....Ni cik kuali nak kongsi resepi nye yer....

Bahan-Bahannya :-
1 ekor ikan senangin (dipotong & dibersihkan)
3 sudu besar rempah kari ikan 
2 sudu besar cili kisar / cili boh
1 biji kelapa parut (diperah & ambil santan nya)
1 biji terung bulat (dipotong lapan)
6 biji bendir (dibersihkan)
1 biji tomato (dipotong enam)
3 ulas bawang merah (dihiris)
2 ulas bawang putih (dihiris)
1/2 inci halia (dihiris)
3 tangkai daun kari
2 sudu teh biji sawi / halba campuran
Sedikit air asam jawa
Garam secukup rasa

Cara Membuatnya :-
  • Panaskan sedikit minyak didalam periuk.Tumiskan bawang merah, bawang putih, daun kari & halba campuran hingga naik bau
  • Kemudian masuk kan cili boh / cili kisar. Tambahkan sedikit garam
  • Bancuhkan serbuk kari dengan sedikit air. Kemudian dimasukkan didalam periuk. 
  • Biarkan hingga rempah karih dan cili sedikit garing.
  • Masukkan santan, ikan & terung. Biarkan ikan masak. Kacau sekali sekala. 
  • Tuangkan air asam jawa dan masukkan tomato serta bendir.
  • Masak dengan api sederhana hingga ikan masak dan sayuran lembut.
  • Rasa jika kurang garam tambahkan sedikit. Jika ok, boleh padamkan api...

Friday, May 3, 2013

Ayam Kam Heong


Lama cik kuali tak masuk ke dapur....Faktor kesihatan tak mengizinkan cik kuali memasak....Demam, selsema, batuk segalanya menyerang cik kuali....Hari ini kesihatan dah mula pulih, Alhamdulillah..
Menu makan malam kami ringkas jer...Ayam Kam Heong....Jika anda biasa ke kedai Masakan Cina Muslim, pasti pernah terlihat menu Kam Heong ni...Kam heong bermaksud Golden Fragrance atau Berbau Wangi....Selain ayam, boleh juga digantikan dgn Lala, Ketam dan Udang...Nak cuba memasak...ni cik kuali nak kongsi resepi....

Bahan-Bahannya

4 ketul peha ayam / 300gm isi ayam
(dipotong kecil)
1 sudu besar tepung jagung
2 tangkai daun kari
2 sudu besar serbuk kari
8 biji cili padi (ditumbuk sedikit)
3 ulas bawang putih(ditumbuk)
8 ulas bawang merah (ditumbuk)
2 sudu besar udang kering (direndam & ditumbuk)
2 sudu besar sos tiram
1 sudu besar kicap cair
1 sudu besar kicap pekat
1 biji bawang besar (dipotong 6)
1/2 biji cili bengala (optional)
Garam dan Gula secukup rasa

Cara Membuatnya
  • Cuci ayam & toskan. Gaulkan sedikit garam & tepung jagung.Kemudian digoreng hingga masak tapi jangan garing sangat. Diangkat dan  biarkan seketika.
  • Dalam satu mangkuk, campurkan serbuk kari, sos tiram, kicap cair & kicap pekat sebagai bahan perencah.
  • Panaskan sedikit minyak, tumiskan bawang merah & bawang putih. Dimasukkan pula udang kering hingga naik bau. 
  • Kemudian masukkan cili padi, daun kari, dan bahan perencah. Kacau hingga sebati. 
  • Tambahkan garam serta gula secukup rasa.
  • Masukkan ayam yang telah digoreng tadi bersama dengan cili bengala & bawang besar
  • Kacau rata.Jika rasa sudah ok, boleh dihidangkan bersama nasi panas..