Showing posts with label Menu Mudah. Show all posts
Showing posts with label Menu Mudah. Show all posts

Monday, July 6, 2015

Biskut Florentine / Crunchy Caramel Almond


Salam semua.... Macam mana persiapan untuk menyambut Hari Raya? Dah banyak ke uolls semua buat kuih raya... Cik kuali tahun ini ada sedikit kerajinan untuk buat kuih raya... Awal puasa dah start beli barang-barang buat kuih raya.... Sebab takut barang habis...hihihi.... Buatnye baru sejenis je kuih raya... Itu pun kuih yang paling senang di alam semesta. Biskut Florentine @ Crunchy Almond....




Bahan-Bahannya:-
200 gm tepung Florenta / Bienetta
200 gm badam keping
100 gm kuaci hitam
20 gm bijan hitam

Cara Membuatnya:-

  • Badam dan kuaci di bakar terlebih dahulu di dalam oven pada suhu 160 C selama 5 minit

  • Satukan semua bahan dalam bekas & Gaul rata, hingga semuanya bersalut sempurna.
  • Sediakan loyang 14x14 inc, alas loyang dengan kertas kek sahaja
  • Panaskan oven pada suhu 160C. Tuangkan adunan tadi dalam loyang dan ratakan NIPIS.
  • Bakar dalam oven selama 10 minit. Sejurus keluar dari oven terus potong kepada kepingan
  • Simpan dalam bekas kedap udara.
Cara Cik Kuali
  • Setelah semua bahan digaul rata. 
  • Guna Non stick muffin pan. Letakkan setengah sudu besar didalam setiap lubang muffin pan. 



  • Bakar selama 5-6 minit sahaja. Jangan terlalu lama.
  • Keluar dari oven biarkan sejuk seketika & terbalikkan diatas dulang. 
  • Biskut anda akan jadi elok bulat-bulat & keping-keping.
  • Simpan dalam bekas kedap udara.

Wednesday, June 24, 2015

Onde-Onde / Buah Melaka


Cik Kuali rasa ini lah kuih paling senang & mudah untuk buat dalam dunia.... Sebabnya kita bancuh adunan tepung lepas tu masukkan kedalam air panas didih, kuih timbul dah masak....Cik kuali rasa uolls semua pernah buat kuih buah melaka atau nama lain nya Onde-onde....Betul tak? Ok la hari ini cik kuali nak kongsi kan resepi kuih senang ni....

Bahan-Bahannya: 
Anggaran dalam 20 biji buah melaka.

3 cawan tepung pulut
Gula melaka - potong kecil
1 cawan air atau secukupnya
5 helai daun pandan 
1 sudu kecil kapur makan 
1 cawan kelapa parut yang putih sahaja
Sedikit garam - untuk gaul dengan kelapa parut


Cara Membuatnya:

  • Kisarkan daun pandan dengan air secukupnya hingga halus. Tapiskan jus padan untuk asingkan hampasnya & ketepikan.
  • Bancuh tepung pulut dengan air daun pandan serta air kapur sedikit demi sedikit sehingga adunan boleh digentel dan tak melekat di tangan.
  • Ambil adunan sebesar ibu jari dan leperkan. Masukkan gula melaka yang dipotong kecil atau dihancurkan supaya ianya betul betul cair semasa direbus. Tutup adunan kemas kemas dan gentel adunan dengan kedua tapak tangan supaya berbentuk bulat cantik.  
  • Panaskan air di dalam periuk sehingga mendidih. Kemudian masukkan bebola tepung tadi dan tunggu sehingga ianya timbul di permukaan air menandakan ianya telah masak dan sedia diceduk keluar.
  • Setelah timbul, tos dan terus masukkan ke dalam pinggan kelapa parut yang telah digaul bersama sedikit garam. Golek golekkan di atas kelapa sehingga ianya betul betul bersalut. Sedia untuk dihidangkan. 

Friday, June 19, 2015

Puding Karamel



Selamat Berpuasa semua.... Alhamdulillah dapat bertemu lagi dengan bulan yang penuh keberkatan iaitu Ramadhan.... Semoga semuanya sihat-sihat belaka menunaikan ibadah puasa.... Untuk menu berbuka mesti pelbagai jenis makanan kita teringin dan ingin masak... Cik kuali pun sama juga.... Sebelum ni agak malas nak ke dapur.. Tapi bila tiba bulan puasa ini, kerajinan cik kuali menjadi pulak...harap berterusan la ye....Kali ini cik kuali nak share kan resepi mudah....Rasanya semua orang pernah buat... Puding Karamel.... Resepi ini kawan cik kuali yang berikan.... 

Bahan-bahannya: 

Karamel 
6 sudu gula
2 sudu air

Puding
400ml / 1 tin susu cair
3 biji telur
4 sudu besar gula
1 sudu kecil esen vanilla

Cara Membuatnya:

  • Untuk Karamel - Cik kuali guna kuali non stick. Masukkan gula & air. Kacau gula dan air. Kemudian letak kan kuali diatas api yg sederhana.
  • Biarkan gula tersebut hingga bertukar menjadi perang. Kacau perlahan-perlahan. Setelah dapat warna gula yang diinginkan padamkan api. Jangan biar terlalu lama nanti gula jadi hitam & pahit.
  • Biarkan gula sejuk. Kemudian masukkan ke dalam loyang. Terpulang jika anda hendak guna loyang besar atau pun bekas kecil. 
  • Untuk Puding - Dalam satu mangkuk, masukkan telur, susu cair, gula & esen vanilla. 
  • Pukul semua bahan hingga sebati. Kemudian tuangkan ke dalam loyang yang berisi gula karamel tadi. 
Untuk memasak Puding Karamel ada 2 cara: 

Kukus 
  • Panaskan periuk pengukus sehingga air mendidih. Kukus selama 10 minit atau sehingga masak. Sentiasa di lap penutup pengukus supaya permukaan karamel menjadi cantik.

Kukus Bakar



  • Balut bawah loyang dengan aluminium foil. 
  • Letakkan loyang tadi atas dulang pembakar & tuangkan air sampai lebih kurang setengah dulang pembakar.
  • Bakar dengan suhu 180 celsius 45 minit


Thursday, June 18, 2015

Cucur Udang & Jagung



Bila bulan puasa ini, tekak kita macam benda teringin nak makan kan.....Sama la macam cik kuali...Tetiba pulak petang2 remang ni kan terasa pulak nak makan cucur jagung & udang... Tengok bahan-bahan semuanya ada pulak....terus cik kuali pun bancuh la adunan cucur ni...Tapi goreng nya tunggu masa nak dekat berbuka nanti sbb makan panas-panas yang sedap kan... Kalau bukan bulan puasa boleh jugak dibuat untuk sarapan & minum petang....

Bahan-Bahannya:-

200gm udang (dibuang kulit dan dibersihkan)
400gm tepung gandum
1 sudu teh serbuk penaik/ baking powder
Segengam taugeh
Secekak kucai (dipotong pendek)
1 biji bawang besar (dipotong halus)
1 biji telur
Sedikit garam dan kunyit
200gm atau 1/2 tin jagung manis (sweet corn cream style)
Air secukupnya

Cara Membuatnya:-

  • Ayak tepung gandum bersama serbuk penaik.
  • Dalam satu mangkuk, masukkan tepung yang telah diayak. Tambahkan udang, bawang, kucai, taugeh, telur, jagung, garam & kunyit.
  • Perlahan-lahan tuangkan air. Sedikit demi sedikit. Jangan terlalu banyak air. Nanti bancuhan cucur menjadi cair.
  • Gaul rata hingga sebati semua bahan. Rehatkan 10 minit.
  • Panaskan minyak. Sudu sedikit dan goreng. Goreng hingga kuning keemasan.
  • Hidangkan bersama sos kegemaran anda.


Monday, November 17, 2014

Telur Dadar Udang



Selalu sangat dah kita makan telur dadar & bawang...Sesekali kita tukar selera pulak kan...letak udang....Wahhh macam mewah pulak kan letaknudang gitu....Senang...Mudah & cepat dimasak...ressepi ni utk 2 org makan.


Bahan-bahannya:-
2 biji telur
1 sudu besar mayonis
5 ekor udang (dibersihkan & dipotong kecil)
Beberapa helai daun bawang (diporong halus)
Secubit garam

Cara Membuatnya:- 

  • Dalam mangkuk, pecahkan telur. 
  • Kemudian tambahkan mayonis, udang, daun bawang & garam. 
  • Pukul semua bahan hingga telur kembang
  • Panaskan kuali dengan sedikit minyak. Masukkan bancuhan telur & masak hingga garing. 
  • Setelah garing, terbalikkan & biarkan ianya masak & garing sempurna
  • Angkat & hidangkan dengan menu kegemaran anda yang lain.



Nasi Goreng Kampung



Salam semua.....Lama sungguh cik kuali menyepikan....Ampun & maaf dipinta...Cik Kuali tersangat sangat busy...Bila dah busy harus la jarang masak kan....Makan kat luar tak pun makan lauk bungkus...Tak kan Cik kuali nak update lauk bungkus kan....hihihi... Ini cik kuali nak share resepi yg senang & sesuai utk org bujang...Kalau ade nasi lebih2 malam tadi jangan dibuang uolls...Simpan boleh digoreng esok pagi nya...InsyaAllah kalau kena dgn gaya masakkan mesti sedap....


Bahan-Bahannya:-
2 pot nasi (nasi panas harus disejukkan dahulu)
5 ulas bawang merah 
2 ulas bawang putih 
1 keping dada ayam (dipotong kecil & dicuci bersih)
7-8 biji cili padi (jika suka pedas boleh letak lebih)
Segenggam ikan bilis (direndam seketika)
1/4 ikat kangkung (dibeesihkan)
1 biji telur
Garam secukup rasa

Cara Membuatnya:-


  • Kisarkan tanpa air (guna pengisar yg kecil) bawang merah, bawang putih & cili padi. Kalau tak ade pengisar / blander boleh ditumbuk saja dengan lesung batu.
  • Keluarkan bawang & cili yg telah halus. Kemudian dikisar pula ikan bilis. Juga guna pengisar tanpa air. 
  • Panaskan sedikit minyak (lebih kurang 4 sudu besar). Tumiskan bahan-bahan yang telah dikisar hingga naik bau / garing.
  • Kemudian masukkan sedikit garam & isi ayam. Kacau rata & biarkan seketika hingga isi ayam empuk. 
  • Pecahkan telur didalam mangkuk & masukkan kedalam kuali. Kacau rata hingga sebati semuanya. 
  • Masukkan kangkung & nasi. Pastikan nasi tidak berketul-ketul. Kacau & gaulkan semua hingga sebati semuanya. 
  • Rasa & jika kurang tambahkan sedikit garam. Kacau rata & biarkan semuanya seketika
  • Padamkan api & hidangkan


Wednesday, July 2, 2014

Udang Goreng Nestum



Apa lagi yang kita boleh buat dengan udang selain dari sambal petai? Goreng kunyit pun best jugak...Goreng ngn mentega mcm kat restoran pun ok jugak....Bila nak masak benda-benda macam ni yg duk keluar dari kepala....Mula-mula berangan nak masak itu ini, lepas tu kang lauk simple je...Heheheheh...Tapi biasanya yang simple tu enak.....Hari ini cik kuali nak kongsikan resepi Udang Nestum....Cik kuali pernah makan dulu Udang Nestum kat restoran, pastu tak teringat nak cari resepi nya....Hari ni pulak tekak ni tergedik-gedik nak udang nestum...Bak kata Encik D, "awak tu semuanya teringin"....Hehehehehe...Alasan cik kuali memang begitu....

Bahan-bahannya:-
10-15 ekor size sederhana besar (dibersihkan, kulit jgn dibuang, digunting belakang udang)
1 cawan nestum
4 biji cili padi (dihiris halus)
2 tangkai daun kari
1 ulas bawang putih (dihiris halus)
2 sudu mentega
1/2 sudu kecil gula
Secubit garam

Cara Membuatnya :-
  • Udang yang telah dibersihkan, ditoskan & digaulkan dengan sedikit garam. Panaskan minyak untuk mengoreng dengan api sederhana besar.


  • Goreng udang hingga garing. Angkat & ketepikan.
  • Guna kuali lain (jika guna kuali sama, keluarkan minyak mengoreng udang tadi), masukkan butter, bawang putih, daun kari & cili padi. Tambahkan gula & garam.
  • Kacau rata hingga semua bahan sedikit garing (daun kari akan bunyi "pop"). 

  • Kemudian masukkan udang & nestum. Kacau hingga semua bahan sebati. 
  • Setelah sebati, padamkan api. Hidangkan

Saturday, June 28, 2014

Kacang & Ikan Bilis Pedas


Sahur....sahur....Alhamdulillah diberi kesempatan utk berpuasa di Bulan Ramadhan....Semoga segala amalan kita diterima oleh Nya.....Apa menu bersahur uolls? Menu cik kuali sgt mudah & simple Kacang & Ikan bilis pedas....Menu ni kita boleh sediakan awal sebelum berpuasa....Kita simpan dalam botol atau balang untuk tahan lebih lama.....

Bahan-Bahannya:
100gram ikan bilis (lebih kurang 2 genggam)
300gram kacang tanah 
2 ulas bawang putih (ditumbuk halus)
2 senduk nasi cili boh / cili kisar
1 senduk nasi gula
Secubit garam

Cara Membuatnya:

  • Panaskan minyak dengan api sederhana untuk mengoreng ikan bilis & kacang tanah. 
  • Gorengkan ikan bilis, kemudian kacang tanah. Setelah garing, angkat & toskan.
  • Panaskan minyak untuk menumis (boleh guna kuali sama & kurangkan sedikit minyak mengoreng tadi)
  • Tumiskan bawang putih & cili boh. Tambahkan gula dan garam
  • Kacau hingga cili garing. Rasa cili jika kurang garam tambahkan sedikit garam.
  • Setelah garing masukkan ikan bilis & kacang tanah yang digoreng awal tadi.
  • Kacau rata hingga sebati semuanya. Padamkan api.
  • Setelah kacang & ikan bilis pedas ini sejuk, simpankan didalam botol atau bekas kedap udara.

Wednesday, December 11, 2013

Ikan Kembung Berlado


Ikan kembung antara ikan antara ikan kegemaran encik d.....kalau ke pasar mesti beli ikan kembung yg kecil-kecil sebab rasanya lemak manis gituuu....Tapi yg peritnya ialah nak disiang ikan kenit2 tu...Selalunya ikan kembung ni cik kuali goreng biasa je...Bila ada kerajinan lebih, cik kuali buatkan sedikit cili untuk digaul dengan ikan dan jadi la ikan kembung berlado....Senang sangat menu ini tapi cik kuali nak jgk kongsi dengan uoolls...

Bahan-bahannya :-

6 ekor ikan kembung yang saiz sederhana (dibersihkan)
3 ulas cili merah
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 keping asam gelugor
Garam & gula secukup rasa
Sedikit kunyit

Cara Membuatnya :-

  • Ikan yang telah dibersihkan, digaulkan dengan sedikit garam & kunyit. 
  • Kisarkan cili merah, bawang merah & bawang putih tanpa air hingga halus atau boleh juga ditumbuk dengan lesung batu.
  • Kemudian gorengkan ikan hingga garing. Angkat & ketepikan
  • Panaskan sedikit minyak, tumiskan bahan kisar hingga naik bau. Tambahkan garam & gula secukup rasa serta asam gelugor
  • Rasa dan jika ok,  biarkan seketika akhir sekali gaulkan ikan dan biarkan seketika.
  • Padamkan api & hidangkan 

Tuesday, November 5, 2013

Jemah's Aglio Olio



Aura kak jemah dah mai dah.....Uolls mesti biasa makan Aglio Olio kan....Apa tak pernah rasa Aglio Olio?? Sedih la uolls nih....Kak jemah dulu duduk Itali hari-hari makan pasta ok...Tapi dalam banyak2 yang ini je kak jemah suka sebab pedas-pedas gituuu....Org melayu uolls mcm mana pun cili tetap juga dicari...jgn smpai mulut tu kena cili sudahhh le..Oooppsss....Melalut lak kak jemah....So arini cik kuali bagi kepercayaan kat kak jemah untuk hupdate blog dia yg suam-suam kuku nih....Cik Kuali tu masak tak seberapa tapi verangan diva nak hupdate blog....Resepi ini kak jemah dah olah ikut citarasa kak jemah....Perlu ke ikut citarasa Itali uolls.... Bahan-bahan pun senang nak carik kat supe-maket kat Malaysia nih...Tak perlu smpai ke Itali....Let's kita tgk camne nak buat Aglio Olio...Resepi ini utk 2-3 org yer uolls...jgn pulak nak jamu sekampung tapi guna sukatan yg ini, pepandai la uolls gandakannya yer....

Bahan-bahannya :-
250gm / setengah kotak Spaghetti atau Fettuccine 
1/2 biji lada benggala (dipotong memanjang)
1/2 biji bawang besar (dipotong dadu)
2 ulas bawang putih (dicincang halus)
5 biji cendawan butang (boleh guna dlm tin / yg segar) (dipotong nipis)
10-15 ekor udang (size sederhana) (dibersihkan)
4-5 sudu besar minyak zaiton (kak ton pun nak interprem jugak)
1/2 sudu besar cili serpih / chili flakes (letak lebih pun boleh kalau uolls nak pedas berdentum)
1/2 sudu besar serbuk pati ikan bilis Knorr


Contoh Cili Sepih / Chili Flakes
Sumber : Google 




Cara Membuatnya :-

  • Dalam periuk, masakkan air secukupnya untuk merebus Spaghetti / Fettucine. Setelah air rebusan mendidih masukkan sedikit garam sebagai perasa kepada pasta. Kemudian masukkan Spaghetti / Fettucine. 
  • Kacau sekali sekala bagi mengelakkan pasta melekat pada periuk. Setelah pasta empuk, toskan airnya dan ketepikan pasta.
  • Panaskan kuali dan minyak zaiton dengan api sederhana. Tumiskan bawang putih dan bawang besar bersama hingga naik bau. 
  • Masukkan udang dan cendawan butang. Biarkan seketika hingga udang separa masak
  • Kemudian tambahkan cili serpih / chili flakes, serbuk pati ikan bilis dan lada benggala. 
  • Akhir sekali masukkan pasta Spagehtti / Fettucine yang direbus awal tadi.
  • Kacau hingga sebati semuanya. Rasa dan jika kurang boleh tambahkan sedikit garam jgn terlalu bnayak kerana serbuk pati ikan bilis sudah memadai untuk perisa masin.
  • Jika sudah cukup rasa. Padamkan api dah hidangkan. Boleh taburkan cili serpih / chili flakes diatas nya untuk menambah kepedasann


Friday, November 1, 2013

Tauhu Sos Plum


Lama sungguh cik kuali tak jenguk blog ni....Sepi tak update apa-apa resepi...Sorry ye uolls....Cik kuali sedikit busy.. (sebenarnya tak tau busy apa..hihihi)......Cik kuali nak share resepi simple je hari ini.....Lepas ini Insya Allah akan update resepi yang best sikit....

Bahan-Bahannya:

3 keping tauhu putih (dipotong 6 setiap keping)
2 biji cili merah
3 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
1 sudu besar sos plum
1 sudu besar air
1/4 sudu kecil gula
Garam secukup rasa
Beberapa helai daun bawang (dipotong halus)

Cara Membuatnya: :-

  • Panaskan kuali dengan minyak & goreng sekejap tauhu tapi jangan sampai garing sangat. Angkat dan ketepikan
  • Kisar tanpa air cili merah, bawang putih & bawang merah hingga halus (atau boleh juga ditumbuk halus mengunakan lesung batu)
  • Panaskan sedikit minyak, tumiskan bahan kisar hingga garing dan tambahkan gula dan garam.
  • Masukkan sos plum dan air. Kacau hingga masak semua nya.
  • Kemudian masukkan tauhu dan gaul hingga sebati. 
  • Rasa dan jika ok padamkan api. Taburkan daun bawang dan hidangkan.

Sunday, October 6, 2013

Coney Dog.....



Teringin nak makan Coney Dog mesti pergi ke A&W kan....Apa kata lepas ni kita buat sendiri? Tahu tak uolls asal usul coney dog...Meh cik kuali nak story mory, Coney Dog berasal dari Amerika Syarikat dan sempena nama Pulau Coney...Ia mula dikenalkan dari abad ke-20 di Michigan dan lama kelamaan menjadi makanan kegemaran masyarakat Amerika Syarikat....So hari ini cik kuali nak kongsikan resepi coney dog yg telah diolah sedikit mengikut citarasa cik kuali....Menu ini cik kuali gunakan isi ayam kisar, uols boleh juga guna daging cincang /kisar....ikut selera masing2....menu ini sesuai untuk 5-6 org makan...

Bahan-Bahannya :-
400grm isi ayam kisar
1 biji bawang besar bombay (dipotong dadu)
1 sudu kecil rempah kari ayam
6 sudu besar sos tomato / pes tomato (tomato puree)
2 sudu besar sos cili
1 sudu besar gula perang
1 cawan air
1 sudu besar sos mustard (optional)

2 keping keju cheddar (cik kuali guna jenama Chesdale)
Sedikit garam
5 keping roti hotdog
5 keping sosej ayam (cik kuali guna jenama Ramly)

Cara Membuatnya:-

  • Dalam satu mangkuk, campurkan rempah kari, sos tomato, sos cili, sos mustard dan 1/2 cawan air.
  • Panaskan kuali dengan sedikit minyak. Tumiskan bawang besar hingga naik bau. (tinggalkan lebih kurang 1-2 sudu bawang untuk hiasan)
  • Kemudian masukkan isi ayam kisar dan biarkan ia masak seketika.Kacau rata kerana isi ayam akan berketul-ketul jika tidak dikacau.
  • Setelah isi ayam kisar empuk, masukkan bahan sos yang kita telah bancuh awal tadi. Kacau hingga sebati semuanya. 
  • Tambahkan gula perang dan sedikit garam (jangan terlalu banyak garam kerana keju jugak akan menambahkan kemasinan). Jika kuah agak cair biarkan hingga sedikit kering. Jika kuah agak pekat tambahkan baki 1/2 cawan air tadi dan biarkan didih.
  • Akhir sekali masukkan keju cheddar. Kacau sebati & kuah akan menjadi pekat. 
  • Rasa dan jika ok padamkan api.
  • Kukuskan roti selama 1 minit dan sosej selama 7-8 minit. 
  • Hidangkan roti bersama sosej dan tuangkan 2 sudu kuah yg dimasak tadi. Taburkan bawang besar dadu diatasnya.   

Tuesday, October 1, 2013

Pais Ikan Kembong



Pernah makan tak pais ikan? Cik kuali ni pun encik d yang kenal kan menu Pais ini...Dia ckp menu ini dari zaman dia kecil-kecil...Arwah Opah nya selalu buat...Bila encik D request menu ini? Cuba uolls bayangkan muka cik kuali macam mana....Selama 30 tahun ini tak pernah rasa pais tu mcm mana...tak pernah tahu pun rupanya mcm mana....terukkan cik kuali ni,...hihihi...Agak-agaknya macam mana nak masakkan kalau tak pernah rasa...Tapi sebab tak nak kecewakan encik D, apa lagi saya pun cari la resepi Pais Ikan Kembung....Setelah ditapis berbagai resepi yg jumpa...Ini la hasilnya...

Bahan-Bahannya :-

3 ekor ikan kembong (saiz sederhana)(disiang & cuci bersih)
2 helai daun kunyit (dimayang / dihiris halus)
2 cawan kelapa parut
1 biji bawang besar
6 biji cili padi
2 biji cili merah
2 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
1/2 inci kunyit segar
1 batang serai
1/2 cawan air
1 sudu besar air asam jawa
Beberapa helai daun pisang
Garam secukup rasa

Cara Membuatnya:-

  • Kisarkan sehingga halus bawang besar, bawang merah, bawang putih, cili merah, cili padi, kunyit dan serai dengan 1/2 cawan air.
  • Dalam satu mangkuk, campurkan kelapa parut, bahan kisar daun kunyit dan sedikit garam. Gaul sebati kesemua bahan
  • Kemudian tambahkan air asam jawa. Gaul semuanya hingga sebati. Rasa dan jika kurang garam tambahkan.

  • Ikan yang telah dicuci bersih, digaulkan dengan sedikit garam dan kunyit. Kemudian disusunkan diatas daun pisang.
  • Bahan kelapa parut yang telah siap dilumurkan diatas ikan dan balut rapi daun pisang. 
  • Panaskan oven dan panggang pada suhu 180'C selama 20 minit. Terbalikkan ikan setiap 5-6 minit untuk pastikan ikan masak dengan sempurna.
  • Setalah siap hidangkan bersama nasi panas...

Sunday, September 29, 2013

Potato Salad Cik Kuali


Sebelum ini cik kuali ada kongsikan resepi Ayam Panggang....Jadinya hari ini cik kuali nak kongsikan resepi salad kentang...Sebenarnya resepi potato salad cik kuali ini kira yang paling senang dan mudah bahan-bahannya....Terdapat pelbagai resepi yang lebih menarik bahan-bahannya. Jom kita tgk mcm mana nak buat potato salad yg mudah dan sedap....(sedap ke?...kena cuba buat sendiri yer)

Bahan-Bahannya:-
3 biji kentang (dibuang kulit dan dipotong size sederhana )
3 sudu mayonis
2 sudu kecil daun parsley kering (jika dapat daun parsley segar lagi sedap)
Sedikit serbuk lada hitam kasar (black pepper coarse ground)
Garam secukup rasa

Cara Membuatnya :-

  • Kentang dicuci bersih. Rebus kentang dengan sedikit garam hingga empuk. Kemudian toskan. 
  • Dalam satu mangkuk, masukkan kentang yang telah direbus, mayonis, parsley, serbuk lada hitan dan garam.
  • Gaul sebati semua bahan.
  • Rasa dan jika cukup rasa hidangkan.  

Monday, September 16, 2013

Ooooooooh "Onion Ring" Ku....


Mari...mari...kita buat onion ring atau pun gegelang bawang.....Kos pun murah saja.....Yang penting mesti guna bawang besar bombay...Macam mana rupanya bawang bombay nih? Kulit luar nya warna oren dan isi dalamnya warna kekuningan bukan merah ye....Lagi satu bahan penting untuk buat onion ring ini ialah "soda water" atau air soda (bukan aiskrim soda yer uolls) kerana berbuih gas dari air soda  membuatkan onion ring ranggup dan garing....Jom kita tgk macam mana nak buatnya...


Air Soda yg cik kuali guna

Bahan-Bahannya:- (untuk 2-3 org makan)

1 atau 2 biji bawang besar bombay (dipotong bulat dengan ketebalan 1/4 inci)
50grm tepung gandum
25grm tepung jagung
150 ml air soda sejuk
150grm serbuk roti / bread crumbs
Sedikit serbuk lada hitam kasar
Garam secukup rasa


Cara Membuatnya:-
  • Bawang besar dipotong bulat dan setiap keping diasingkan. 
  • Dalam satu mangkuk, masukkan tepung gandum, tepung jagung, serbuk lada hitam & garam. 
  • Kemudian tuangkan air soda sejuk dan kacau perlahan-lahan hingga sebati semua bahan.
  • Ambil kepingan bawang dan dimasukkan dalam bancuhan. 
Dicelup ke dalam bancuhan tepung
  • Kemudian diangkat bawang dari mangkuk bancuhan dan dipindahkan ke dalam pinggan berisi serbuk roti. Sadurkan bawang dengan serbuk roti dan ketepikan.
Kemudian dibalut dengan serbuk roti
  • Ulang semula hingga kepingan bawang siap.
  • Panaskan minyak dan goreng hingga kuning keemasan. Hidangkan bersama sos kegemaran anda.

Saturday, August 24, 2013

Serawa Durian



Apa yang dimaksudkan dengan Serawa? Serawa bermaksud bubur manis, pengat atau manisan... Sebelum ini cik kuali ada kongsikan resepi roti jala...Cik kuali suka makan roti jala dengan serawa durian...Jadinya hari ini cik kuali nak kongsikan resepi serawa durian....Rasanya ramai lagi yang hebat-hebat pandai membuat bubur durian ini..

Bahan-bahannya:-

6 ulas durian
500 ml santan
3 helai daun pandan (dicuci dan diikat simpul)
2 biji telur
5 sudu besar gula
(boleh tambah gula melaka jika suka)

Cara Membuatnya :-

  • Dalam satu mangkuk, pukul telur dan santan hingga sebati keduanya.
  • Kemuadian masukkan ke dalam periuk, tambahkan gula, daun pandan dan durian.
  • Masakkan kesemua bahan diatas api yang sederhana. Kacau selalu hingga menjadi pekat.
  • Rasa jika cukup manis gulanya, padamkan api.
  • Hidangkan bersama roti atau roti jala.

Tuesday, August 20, 2013

Telur Dadar Berlauk



Telur dadar biasa dah terlalu bosan....Ni cik kuali ada resepi telur dadar berlauk yang mudah disediakan...Biasa kita makan telur bungkus yang lauknya dibungkus didalam telur....Cara cik kuali letakkan saja diatas telur dadar tak perlu dibungkus-bungkus... :)

Bahan-Bahannya:-

3 biji telur
1 sudu besar mayonis
1 biji bawang besar (dihiris nipis)
200 grm dada ayam (dipotong kecil & dicuci bersih)
2 ketul sosej (dihiris nipis)
1/2 cawan sayur campuran / frozen mixed vegetable
3 ulas bawang merah (dikisar halus)
2 ulas bawang putih (dikisar halus)
1 sudu besar cili kisar
2 sudu besar sos tomato
2 sudu besar sos cili
Sedikit air
Beberapa helai daun bawang (dihiris halus)
Garam secukup rasa

Cara Membuatnya :-
  • Dalam mangkuk, pukul telur bersama bawang, mayonis dan sedikit garam. Panaskan kuali dengan sedikit minyak dan gorengkan telur hingga masak. Setelah masak, angkat dan ketepikan.
  • Panaskan kuali dengan sedikit minyak. Tumiskan bawang merah dan bawang putih hingga naik bau. Tambahkan cili kisar dan masakkan cili hingga garing.
  • Kemudian masukkan isi ayam dan biar seketika hingga ayam empuk.
  • Masukkan sos cili, sos tomato, sosej, sayur campur dan sedikit air. Tambahkan sedikit garam. Kacau hingga sebati semuanya.
  • Rasa dan jika ok padamkan api. Tuangkan diatas telur dadar yang dimasak awal tadi dan taburkan daun bawang. Hidangkan bersama nasi panas.


Sunday, August 18, 2013

Chapati


Hari minggu yang tenang dan sejuk kerana hujan buat kan cik kuali agak liat untuk bangun tidur...hehehe...Bila dah bangun tidur kena fikirkan apa nak masak untuk sarapan pagi...Jenguk-jenguk dalam peti sejuk ada baki kari ikan yang masih elok...kalau di cicah dengan chapati sedap kan....Emmmm cik kuali ada beli tepung atta tapi tak kesempatan nak buat chapati lagi....Nak buat chapati tak susah macam nak buat roti canai....Meh cik kuali nak kongsikan resepinya....

Bahan-Bahannya:- (sesuai untuk 2-3 org makan)

225gm tepung atta
150ml air suam
1 sudu besar minyak sapi
Secubit garam
Sedikit tepung atta (untuk mencanai)

Cara Membuatnya :-
  • Dalam satu mangkuk, masukkan tepung atta, minyak sapi & garam
  • Tuangkan air sedikit demi sedikit. Uli tepung hingga menjadi doh dan sebati semua bahan
  • Biarkan doh didalam mangkuk dan tutupkan dengan sehelai kain lembab / basah selama 30 minit.
  • Selepas itu, bahagikan doh kepada beberapa bola kecil. Diatas papan pencanai, taburkan sedikit tepung atta. Canai nipis setiap bebola kecil.
  • Panaskan kuali tanpa minyak (seeloknya guna non-stick pan). Masakkan setiap keping dengan api sederhana.
  • Setelah beberapa minit atas kuali, doh akan bertukar warna dan kembung di beberapa bahagian. Ditekan-tekankan bahagian kembung dan terbalikkan.
  • Biarkan masak kedua bahagian (jangan garing sangat nnti doh menjadi keras dan liat).
  • Angkat dan letakkan diatas pinggan. Tutup chapati dengan kain bersih atau masukkan dalam bekas tertutup. Ini kerana wap panas dalam bekas tertutup boleh membuatkan chapati lebih lembut.
  • Hidangkan dengan lauk kegemaran anda. 

Friday, July 26, 2013

Ayam Kung Pao


Kung pao tu apa? Mcm kung fu pun ada yer...Sebelum ini cik kuali pernah kongsikan resepi Kam Heong....Hari ini cik kuali nak kongsi resepi Kung pao pulak...Kung Pao bermaksud "spicy stir-fry" ataupun tumis pedas yang dibuat daripada kombinasi ayam, kacang, sayur-sayuran dan lada cili. Menu ini juga adalah hidangan klasik dalam masakan Szechuan yang berasal dari Wilayah Sichuan di tengah barat Negara Cina. Sedap ke tidak menu ini, anda sendiri kena cuba buat...Bahagian ayam yang sesuai untuk membuat menu ini ialah bahagian dada atau isi ayam tanpa tulang. Boleh juga menggunakan peha ayam tapi pastikan buangkan tulangnya terlebih dahulu.  

Bahan-Bahannya :-
400grm isi ayam / dada ayam (dipotong kecil)
8 tangkai cili kering (dipotong pendek)
2 ulas bawang putih (ditumbuk halus)
1 inci halia (dihiris halus)
3 sudu besar kacang gajus (yang telah dipanggang)
1/2 biji cili benggala (dipotong kecil)
Beberapa helai daun bawang (dipotong halus)
1 sudu kecil minyak bijan (untuk menumis)
Beberapa helai daun sup (dihiris)

Bahan Perapan
1 sudu besar kicap cair
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar tepung jagung
1/2 sudu kecil minyak bijan

Bahan Sos
1 sudu besar kicap pekat
2 sudu besar kicap cair
2 sudu besar sos cili bawang putih (sos cili thai)
1/4 cawan stok ayam
1/2 sudu kecil tepung jagung (dibancuh dengan sedikit air)
Garam dan gula secukup rasa

Cara Membuatnya:-


  • Ayam dibersihkan dan toskan. Dalam satu mangkuk masukkan bahan perapan dan ayam. Perapkan selama 30 minit. 
  • Dalam mangkuk lain, bancuhkan bahan sos.
  • Panaskan minyak untuk menggoreng ayam. Goreng ayam yang telah diperap hingga masak 70%. Angkat ayam dan ketepikan.
  • Gunakan kuali yang sama. Minyak menggoreng dikurangkan hingga tinggal sedikit minyak dan tambahkan minyak bijan.
  • Tumiskan bawang putih dan halia hingga naik bau. Kemudian masukkan cili kering. 
  • Tambahkan ayam yg telah digoreng awal tadi, lada benggala dan kacang gajus. 
  • Kemudian masukkan bahan sos. Kacau hingga semua sebati selama 5 minit. 
  • Rasa dan jika ok padamkan api. Hidangkan dan taburkan daun bawang.

Thursday, July 18, 2013

Ikan Siakap Kukus Halia


Salam Ramadhan.....Dah puasa ke berapa dah kita hari ini? Sekejap je dah 10 hari...Pantas sungguh masa berlalu...Apa menu berbuka uolls semalam? Cik kuali masak yang mudah dan ringkas saja semalam kerana agak kepenatan bekerja...Hari ini cik kuali nak kongsikan menu sihat, ringkas dan cepat disediakan....yang penting sedap...Adakalanya kita bosan makan ikan yang digoreng dan dibuat gulai. Apa salahnya sesekali kita ubah cara masakkan pula...Kita kukus, panggang dan grill (dah mcm iklan Panasonic plak)...hehehe...Bahan-bahan untuk kukus ikan ini pun mudah dan senang didapati...Selain siakap boleh juga guna kan ikan bawal, ikan merah dan ikan kerapu....Cara kukus pula tidak semestinya mengunakan periuk kukus...Dengan kuali pun kita boleh kukus ikan cuma yang perlu ada penutup kuali dan besi pengalas periuk...

Bahan-Bahannya:-

1 ekor ikan siakap (dicuci bersih)
2 inci halia (dihiris halus)
5 sudu besar kicap cair
3 sudu besar air
3 percikan lada putih / lada sulah
1 sudu kecil gula
1/2 sudu kecil minyak bijan
2 sudu besar minyak
Beberapa helai daun sup & daun bawang (dipotong panjang 2 inci)
Sedikit garam

Cara Membuatnya :-
  • Dalam 1 mangkuk, campurkan minyak bijan, kicap cair, lada putih dan gula. Ketepikan 
  • Ikan dicuci bersih dan diletakkan didalam pinggan yang boleh dikukus. Taburkan sedikit garam dan 1/2 bahagian halia yg telah dihiris tadi.
  • Didihkan air didalam kuali. Letakkan besi pengalas periuk dan masukkan pinggan ikan. Kemudian tutup rapat dengan penutup kuali. Kukus ikan selama 8 minit.
  • Setalah 8 minit, tutupkan api. Keluarkan ikan dan buangkan air lebihan ikan di dalam pinggan serta halia. 
  • Kemudian ambil 1/2 bahagian halia yang telah dihiris tadi, ditaburkan diatas ikan yg telah dikukus. Panaskan 2 sudu minyak. Setelah panas, dicurahkan ke atas halia dan ikan. 
  • Kemudian guna kuali yang sama, panaskan bahan-bahan kicap yang kita telah campurkan tadi. Biarkan mendidih. Setelah mendidih, padamkan api dan dituangkan rata keatas ikan. 
  • Akhir sekali taburkan daun bawang dan daun sup. Ikan siap untuk dihidangkan.