Showing posts with label Seafood. Show all posts
Showing posts with label Seafood. Show all posts

Tuesday, June 9, 2015

Rendang Udang Galah



Salam semua.... Lepas masuk tahun 2015 makin merundum kerajinan cik kuali utk memasak...Lama betul cik kuali tak update....Resepi terakhir cik kuali update  bulan Nov 2014.....Sorry semua...Harap lepas ni kerajinan utk memasak & kongsi resepi ngn uolls makin bertambah....Hari ni cik kuali nak share resepi yg mungkin jarang-jarang kita masak tapi sedap bila makan sekali sekala....Biasanya rendang kita guna ayam, daging & kerang, kali ini cik kuali guna udang.... Kebetulan pulak Encik D memancing udang minggu lepas, hasil tangkapan pulak sgt meriah...terus cik kuali rajin nak cuba masak rendang udang...




Bahan-bahannya:-

700grm udang galah (nak guna udang lain pun boleh) - dibersihkan

2 helai daun kunyit (jika daun besar guna 1 helai pun ok) - dihiris halus

4 helai daun limau purut
2 keping asam keping / asam gelugor
4 sudu besar kerisik 
Santan (1 biji kelapa akan dapat lebih kurang 1 setengah cawan santan)
4 sudu besar cili kisar / cili boh (jika ingin pedas boleh tambah lagi)
Garam & gula secukupnya

Bahan kisar
2 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
5 ulas bawang merah
4 batang serai
1 inci kunyit hidup (cik kuali guna serbuk kunyit)
3 inci halia
1 inci lengkuas

Cara Membuatnya:-


  • Udang dibersihkan. Cik kuali guntingkan sedikit muncung depannya & dicuci bersih. Ketepikan seketika udang.
  • Kisarkan semua bahan-bahan kisar hingga halus.
  • Panaskan minyak dalam kuali . Tumiskan bahan-bahan yang telah dikisar & cili boh hingga naik bau / pecah minyak.
  • Tambahkan santan, asam keping, daun limau purut, kerisik, garam & gula secukup rasa. Masakkan kesemuanya dengan api sederhana.
  • Bila sudah mendidih masukkan udang. Kacau hingga sebati semuanya. Akhir sekali taburkan hirisan daun kunyit.
  • Rasa & masak hingga kuah agak pekat. Cik kuali suka berkuah sedikit tidak terlalu pekat sangat. Terpulang pada kehendak masing-masing.
  • Jika ok, padamkan api & hidangkan


Wednesday, December 25, 2013

Udang Bersos Mangga


Udang oh udang....Apa lagi yg kita boleh masak dengan udang ye? Sambal petai udang dah biasa....gulai lemak udang pun dah biasa.....udang goreng kunyit pun dah biasa...Cik kuali dapat idea utk masak udang sos mangga...elok pulak ada mangga kat rumah....Rasa macam masam masam manis gitu....

Bahan-Bahannya :
10 ekor udang bersaiz XL (dipotong hujung & dibersihkan)
1 biji mangga (dipotong dadu)
2 biji cili masak (dikisar)
2 ulas bawang putih (dikisar)
1 sudu besar sos cili thai
1 sudu besar sos tomato
2 sudu besar sos plum
1 biji bawang besar (dipotong dadu)
1/2 biji cili benggala (dipotong dadu)
Beberapa helai daun sup & daun bawang (dihirs halus)
1 sudu kecil tepung jagung
Garam & gula secukup rasa

Cara Membuatnya :


  • Gaulkan udang dengan sedikit garam dan tepung jagung. Panaskan minyak & gorengkan udang hingga garing. Angkat, toskan & ketepikan.
  • Kisarkan cili merah bersama bawang putih
  • Dalam kuali lain, panaskan sedikit minyak. Tumiskan bawang besar & bahan kisar hingga naik bau.
  • Tambahkan gula & garam secukup rasa.
  • Kemudian masukkan sos plum, sos cili thai, sos tomato, lada benggala & mangga. 
  • Akhir sekali gaulkan udang yg telah digoreng awal tadi dengan kuah hingga sebati.
  • Rasa dan jika ok, padamkan api. Taburkan daun sup & daun bawang
  • HIdangkan bersama nasi panas.

Tuesday, December 3, 2013

Ketam Bercili


Bila balik dari kerja mesti kena pikir balik ni nak masak apa? Menu apa yg sedap? Nak masak ke nak makan luar? Sememangnya masak sendiri lebih puas hati dan puas makan berbanding makan kat luar...Tapi mood malas adakalanya menyapa dikala bulan purnama tu yg payah sikit....Kalau malas sampai 2 minggu tak masak pun ada....itu cik kuali org lain mugkin lebih rajin dari cik kuali kan....So menu semalam pulang dari kerja ialah Ketam....Dah ade bahan utama, nak pikir pulak nak dimasak apa ketam ni....Gulai lemak? Goreng saja? Rebus saja? Atau bercili? Yang ringkas dan senang ialah Ketam Bercili....Meleleh air mata encik d makan pedas....Tak pe sesekali katanya.

Bahan-Bahannya :-
3 ekor ketam bunga (dicuci bersih & ditoskan)
6 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 biji bawang besar (dipotong bulat)
1 sudu besar udang kering (direndam dahulu, kemudian toskan & kisar halus tanpa air) 
2 senduk nasi cili boh / cili kisar
1 sudu besar sos tiram
3 sudu besar sos tomato
Sedikit air
Garam & gula secukup rasa

Cara Membuatnya:-

  • Kisarkan cili boh bersama bawang merah dan bawang putih. Kemudian kisar udang kering tanpa air. 
  • Gaulkan sedikit garam padam ketam yang telah dicuci bersih. Panaskan kuali dan minyak dengan api sederhana. Gorengkan ketam tersebut hingga warna kulit bertukar merah / oren. Angkat dan ketepikan.
  • Panaskan minyak dan tumiskan bahan kisar & udang kering hingga garing. Tambahkan garam dan gula secukup rasa.
  •  Kemudian masukkan sos tomato & sos tiram. Kacau sebati dan rasa jika kurang tambahkan garam atau gula secukupnya.
  • Akhir sekali masukkan bawang besar potong & ketam. Kacau hingga rata semua ketam dan sambalnya. 
  • Padamkan api & hidangkan. 

Thursday, July 18, 2013

Ikan Siakap Kukus Halia


Salam Ramadhan.....Dah puasa ke berapa dah kita hari ini? Sekejap je dah 10 hari...Pantas sungguh masa berlalu...Apa menu berbuka uolls semalam? Cik kuali masak yang mudah dan ringkas saja semalam kerana agak kepenatan bekerja...Hari ini cik kuali nak kongsikan menu sihat, ringkas dan cepat disediakan....yang penting sedap...Adakalanya kita bosan makan ikan yang digoreng dan dibuat gulai. Apa salahnya sesekali kita ubah cara masakkan pula...Kita kukus, panggang dan grill (dah mcm iklan Panasonic plak)...hehehe...Bahan-bahan untuk kukus ikan ini pun mudah dan senang didapati...Selain siakap boleh juga guna kan ikan bawal, ikan merah dan ikan kerapu....Cara kukus pula tidak semestinya mengunakan periuk kukus...Dengan kuali pun kita boleh kukus ikan cuma yang perlu ada penutup kuali dan besi pengalas periuk...

Bahan-Bahannya:-

1 ekor ikan siakap (dicuci bersih)
2 inci halia (dihiris halus)
5 sudu besar kicap cair
3 sudu besar air
3 percikan lada putih / lada sulah
1 sudu kecil gula
1/2 sudu kecil minyak bijan
2 sudu besar minyak
Beberapa helai daun sup & daun bawang (dipotong panjang 2 inci)
Sedikit garam

Cara Membuatnya :-
  • Dalam 1 mangkuk, campurkan minyak bijan, kicap cair, lada putih dan gula. Ketepikan 
  • Ikan dicuci bersih dan diletakkan didalam pinggan yang boleh dikukus. Taburkan sedikit garam dan 1/2 bahagian halia yg telah dihiris tadi.
  • Didihkan air didalam kuali. Letakkan besi pengalas periuk dan masukkan pinggan ikan. Kemudian tutup rapat dengan penutup kuali. Kukus ikan selama 8 minit.
  • Setalah 8 minit, tutupkan api. Keluarkan ikan dan buangkan air lebihan ikan di dalam pinggan serta halia. 
  • Kemudian ambil 1/2 bahagian halia yang telah dihiris tadi, ditaburkan diatas ikan yg telah dikukus. Panaskan 2 sudu minyak. Setelah panas, dicurahkan ke atas halia dan ikan. 
  • Kemudian guna kuali yang sama, panaskan bahan-bahan kicap yang kita telah campurkan tadi. Biarkan mendidih. Setelah mendidih, padamkan api dan dituangkan rata keatas ikan. 
  • Akhir sekali taburkan daun bawang dan daun sup. Ikan siap untuk dihidangkan.   


Thursday, July 11, 2013

Lala Kam Heong


Sebelum ini cik kuali pernah kongsikan resepi Ayam Kam Heong... Semalam untuk menu iftar cik kuali masak Lala Kam Heong...Disebabkan cik kuali sampai ke rumah agak lewat jadinya masak yang simple saja....Kita boleh masak pelbagai jenis masakan dengan lala seperti gulai lemak, masak bersama pasta, goreng bercili dan sebagainya....


Bahan-Bahannya

300 grm lala (dicuci & ditoskan)
2 tangkai daun kari
2 sudu besar serbuk kari
8 biji cili padi (ditumbuk sedikit)
3 ulas bawang putih(ditumbuk)
8 ulas bawang merah (ditumbuk)
2 sudu besar udang kering (direndam & ditumbuk)
2 sudu besar sos tiram
1 sudu besar kicap cair
1 sudu besar kicap pekat
1 biji bawang besar (dipotong 6)
Garam dan Gula secukup rasa

Cara Membuatnya:-
  • Dalam satu mangkuk, campurkan serbuk kari, sos tiram, kicap cair & kicap pekat sebagai bahan perencah.
  • Panaskan sedikit minyak, tumiskan bawang merah & bawang putih. Dimasukkan pula udang kering hingga naik bau. 
  • Kemudian masukkan cili padi, daun kari, dan bahan perencah. Kacau hingga sebati. 
  • Tambahkan garam serta gula secukup rasa.
  • Masukkan lala bersama bawang besar. Kacau rata.Rasa dan jika ok, boleh dihidangkan bersama nasi panas..

Monday, June 17, 2013

Gulai Lemak Kerang




Macam-macam yang kita boleh masak dengan kerang....Rendang, sambal tumis, rebus sahaja pun boleh juga...Malam tadi cik kuali masak gulai lemak kerang dengan menu tambah sambal belacan dan ikan terubuk masin....memang menusuk kalbunya bila gulai lemak makan dengan sambal belacan....

Bahan-Bahannya :-
1 kg kerang (dicuci & toskan)
2 batang serai (dititik)
1 helai daun kunyit (disiat)
2 inci halia (dititik)
2 biji cili merah
6 biji cili padi (jika ingin pedas boleh tambah)
6 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
300ml pati santan
700ml santan cair
Sedikit kunyit serbuk
Garam secukup rasa

Cara Membuatnya :-

  • Kerang dibersihkan,cuci dan toskan. Masukkan ke dalam periuk.
  • Bawang merah, bawang putih, cili padi & cili merah dikisar halus bersama sedikit santan cair. Tuangkan ke dalam periuk.
  • Masukkan baki santan cair, serai, daun kunyit dan halia. Kacau perlahan dengan api sederhana.
  • Gaul rata dan masak hingga kerang masak. Kemudian tuangkan pati santan. Tambah garam secukup rasa.
  • Kacau selalu dan perlahan. Rasa dan jika ok, padamkan api..

Saturday, June 1, 2013

Sotong Goreng Tepung


Sotong kalau kita goreng tak kira dengan tepung atau goreng kunyit kedua-duanya sedap...Menu ini cik kuali buat mlm td...Cik kuali buat nasi goreng daging dan sebagai menu tambahan cik kuali buat sutun @ sotong goreng tepung....tepung bancuhan untuk goreng sotong ada juga dijual siap di pasar raya....tapi untuk menu ini cik kuali ikut gerak hati....konon-konon mcm cipta rasa sendiri....kalau sedap ok kalau tak sedap ke tong sampah la jawap nya....senang je resepi cik kuali....

Bahan-bahannya :-

4 ekor sotong putih (saiz sederhana, dibersihkan)
8 sudu besar tepung gandum
1/2 camca teh serbuk penaik (baking powder)
1 biji telur
Sedikit serbuk lada hitam 
Sedikit Garam

Cara Membuatnya:-

  • Sotong disiang & dipotong bulat dengan ketebalan 1/2 inci. Dicuci dan toskan airnya.
  • Dalam satu mangkuk, masukkan tepung gandum & serbuk penaik. Dalam mangkuk lain, pukul telur, garam dan serbuk lada hitam. 
  • Satukan bancuhan telur dengan tepung. Kacau semua bahan hingga sebati. Jika bancuhan agak pekat, masukkan sedikit air. 
  • Panaskan kuali, celupkan sotong dengan bancuhan tepung dan goreng hingga kuning keemasan. 
  • Setelah garing. Angkat dan toskan. Enak dimakan panas-panas
Tips
1) Biarkan sotong sedikit garing baru diterbalikkan. Jika tidak tepung dan sotong akan bercerai.
2) Waktu mengoreng sotong, akan berlaku letupan-letupan kecil. Seolah anda sedang berperang dengan sotong. Jadi berhati-hati bila anda cuba mengoreng. 

Friday, May 24, 2013

Siakap Suka Hati


Masalah kekapis nak masak apa dah selesai...ini masalah siakap pulak nak masak apa...konon pada asal nya nak dimasakkan 3 rasa...tapi encik D cakap mcm dah jemu dengar 3 rasa....cuba buat lain katanya...wahhhh kalau dia tolong masakkan tak pe jugak...ini cik kuali jugak yang pikir nak masaka apa..sudah nya ikut suka hati cik kuali la resepinya kan....

Bahan-bahannya :- 
1 ekor ikan siakap (dibersihkan)
2 senduk nasi cili kisar / cili boh
5 ulas bawang kecil
2 ulas  bawang putih
1/2 biji timun (dipotong dadu)
1/2 biji lada benggala / capsicum (dipotong dadu)
1 biji bawang besar (dipotong bulat)
Beberapa tangkai daun sup & daun bawang (dipotong kasar)
Garam dan gula secukup rasa

Cara Membuatnya :-

  • Panaskan minyak untuk mengoreng ikan. Ikan ditabur sedikit garam. Kemudian goreng hingga garing. Ketepikan.
  • Kisar cili kisar bersama bawang kecil & bawang putih
  • Panaskan sedikit minyak. Tumis bahan kisar hingga garing. Tambahkan sedikit garam dan gula. Kacau rata.
  • Kemudian masukkan lada benggala, timun dan bawang besar. Biarkan seketika.
  • Rasa dan jika ok bole dituangkan diatas ikan.
  • Taburkan daun sup dan daun bawang. Hidangkan bersama nasi panas.

Paprik Kekapis


Kekapis.....mcm kembang kempis je bunyi nye...hehehhe...tak la...kekapis ni dalam sebutan english nya "scallop"....Cik Kuali gi pasar malam ari Rabu aritu, ternampak ada seorang pakcik duk leka susun kekapis dalam pinggan.....tnya pakcik berapa dia jual sepinggan...dia jawab rm5.00 jer.....cik kuali pun beli la sepinggan...sebelum ni pernah makan scallop tapi memasak nya belum pernah lagi...so tak berani nak  beli banyak sebab takut tak jadik pulak lauk nya..Di hari Jumaat yang mulia ini tambahan pulak hari cuti, cik kuali try la nak masak kekapis ni...


Ini rupa kekapis dengan kulit cengkerang nya....cik kuali kopek ambil isi nya....isi putih gebu gitu....Dah dibersihkan cik kuali tenung kekapis nih apa yang sesuai nak masak ni....akhirnya Paprik yg menjelma memandangkan bahan-bahan lain pun ada....tapi cik kuali rasa uolls lagi terror masak paprik kan... :)

Bahan-Bahannya :-
400grm Kekapis / Scallop (dibersihkan)
1/2 batang lobak merah (dipotong nipis)
10 tangkai kacang panjang 
Sedikit bunga kobis (dipotong kecil)
1 biji tomato (dipotong 6)
1 biji bawang besar (dihiris)
8 biji cili padi (dititik)
2 ulas bawang putih (ditumbuk halus)
1 batang serai (dititik)
4 helai daun limau purut
2 camca besar sos tiram
2 camca besar sos cili
2 camca besar sos tomato
Sedikit sos ikan (tapi cik kuali tak guna)
Garam dan gula secukup rasa

Cara Membuatnya :-

  • Kekapis dikopek & dibersihkan. 
  • Panaskan sedikit minyak, tumis bawang putih, cili padi, serai dan bawang besar.
  • Kemudian masukkan daun limau purut, sos cili, sos tomato dan sos tiram, sedikit garam dan gula. Kacau rata.
  • Masukkan sayur lobak merah, bunga kobis dan kacang panjang. Gaul rata dan biar hingga sayur sedikit empuk / masak.
  • Tambahkan kekapis. Kacau hingga sebati. Biar seketika. Rasa dan jika ok boleh dipadamkan api. Kekapis tak sedap dimasak lama nanti liat isinya.

Monday, May 20, 2013

Sambal Tumis Udang dan Petai



Selamat Pagi...Bersiaran dari Bandar Kuching...wah mcm artis lak cik kuali nak bersiaran bagai....Yela sebabnya sekarang ini cik kuali sedang bercuti & berjalan2 di Bandar Kuching...Dapur memang tak berasap la jawapnya kan...Tapi hari ini cik kuali just nak share lauk sambal udang petai yang cik kuali hidangkan pada minggu lepas....Minggu lepas ada kawan kami datang lunch bersama dirumah kami, so cik kuali masakkan lauk ini...

Bahan-Bahannya :-

700 grm udang bersaiz sederhana
3 papan petai
4 senduk nasi cili kisar
2 biji bawang besar (1 dipotong kasar, 1 untuk dikisar)
1/2 inci belacan
1/2 cawan air asam jawa
Garam dan gula secukup rasa


Cara Membuatnya :-

  • Udang dibersihkan. Petai diambil isinya. Kisarkan cili kisar bersama bawang besar dan belacan.
  • Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan kisar hingga garing. Tambahkan garam & gula.
  • Kemudian masukkan udang, petai dan bawang besar yang dipotong kasar. Kacau rata.
  • Tambahkan air asam jawa. Kacau rata dengan api sederhana hingga sambal sedikit pekat.Rasa dan jika ok boleh dihidangkan.

Friday, April 26, 2013

Gulai Lemak Ketam


Dua tiga ketam berlari
Mana nak sama si ketam bunga
Dua tiga ketam ku cari 
Gulai Lemak menjadi, hati berbunga-bunga

Yer tema masakan cik kuali hari Jumaat yang mulia ini ialah Ketam...Pada asal nya cik kuali nak masak Ketam bercili...tapi encik d saya kurang sikit dengan cili-cili ni...Jadinya cik kuali masakkan Gulai Lemak....

Bahan-Bahannya :-

4 ekor ketam bunga (dibersihkan)
2 batang serai (dititik)
1 helai daun kunyit (disiat)
2 inci halia (dititik)
2 biji cili merah
6 biji cili padi (jika ingin pedas boleh tambah)
6 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 inci kunyit hidup
250ml pati santan
500ml santan cair
Garam secukup rasa

Cara Membuatnya :-

  • Ketam dibersihkan,cuci dan toskan. Masukkan ke dalam periuk.
  • Bawang merah, bawang putih, cili padi, cili merah dan kunyit hidup dikisar halus bersama sedikit santan cair. Tuangkan ke dalam periuk.
  • Masukkan baki santan cair, serai, daun kunyit dan halia. Kacau perlahan dengan api sederhana.
  • Gaul rata dan masak hingga ketam berubah warna. Kemudian tuangkan pati santan. Tambah garam secukup rasa.
  • Kacau selalu dan perlahan. Rasa dan jika ok boleh matikan api..